Tuesday, December 25, 2007

Balik dari pantai timur

Lama saya tak kemaskinikan blog ini. Ini kerana dua minggu kebelakangan ini saya agak sibuk dengan perkahwinan adik perempuan saya. Dalam tempoh itu juga saya tak jalankan bisnes cendawan. Penuaian hasil diberhentikan buat sementara waktu.

Sehari selepas Hari Raya Aidil Adha sehingga Ahad 23 Disember 07 baru-baru ini saya berada di pantai timur untuk ke rumah pengantin lelaki di Jertih Terengganu. Sepanjang tempoh itu, kami tinggal di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan. Pagi Ahad tu, sebelum bertolak balik ke Ipoh Perak, saya sempat berjalan-jalan di pasar Siti Khadijah di Kota Bharu. Yang menariknya, boleh dikatakan hampir kebanyakkan peniaganya adalah kaum wanita.


Kaum wanita berniaga

Saya sempat berjalan-jalan di bahagian jualan sayur-sayuran, sempat juga melihat cendawan. Di sana cendawan tak kelihatan pula dijual dalam bungkusan seperti lazimnya di pantai barat. Ianya dijual secara longgok dan pembeli yang akan memilihnya. Harga jual di sini adalah RM6-7/kg. Ehmm, harga yang rendah secara relatifnya. Menurut peniaga di situ, sumber cendawan tiram kelabu bukan saja datang dari bekalan tempatan, seperti sayur-sayuran lain, cendawan dari Thailand juga membanjiri pasaran tempatan. Itu yang mempengaruhi harga di sini.


Cendawan tiram kelabu dijual longgok dengan harga RM6 atau RM7 sekilo.

Berhubung kursus cendawan tiram kelabu di Bangi yang dijalankan oleh Fatisha Agro Farm, saya menerima pertanyaan mengenainya. Ada yang ingat kursus ini turut dijalankan oleh syarikat kami Mahasz Enterprise..anggapan itu berlaku mungkin kerana iklan tersebut dipaparkan di blog ini. Sebenarnya tidak. Saya hanya tolong mengiklankan sahaja. Sesiapa yang berminat boleh terus menghubungi Fatisha di 012-6221149

Thursday, December 20, 2007

Kursus Cendawan Tiram Kelabu di Bangi

Sesiapa yang berminat menghadiri kursus di atas terutama kawasan berhampiran Bangi bolehlah menghadiri kursus berikut (atau ke siswazah-tani.blogspot.com untuk maklumat lanjut):

Saturday, December 1, 2007

Tuai, bungkus dan jual

Semalam merupakan tuaian yang terbanyak pernah dikutip setakat ini. Adalah dalam kira-kira 8 kg. Kutipan dalam satu hari saja. Dalam perjalanan balik rumah ke Ipoh saya singgah di kampung mengambil hasil tersebut.


Hasil tuaian yang dipetik hari semalam Jumaat.

Sampai sahaja di rumah, selepas rehat dan makan malam, kami buat kerja pembungkusan. Buat kerja tu sampai tak larat nak teruskan dek letih kerja siang harinya dan mata mula ngantuk. Tapi seronok buat kerja ni sambil sembang-sembang. Tak habis semuanya dibungkuskan. Itu pun ada sebakul lebih tak habis lagi. Sambung kemudian nantilah.


Siap dibungkus

Pagi tadi lepas solat subuh, saya hantar bungkusan cendawan ke sebuah pasar mini berhampiran rumah. Sempat juga ambil gambar bungkusan cendawan kami disusun di rak sayur-sayuran. Rasa kepuasan melihat hasil sendiri dipasarkan dan dijual. Syukur Alhamdulillah. Semoga langkah berikutnya dipermudahkanNya. Perjalanan masih jauh lagi..


Antara bungkusan cendawan di rak

Sunday, November 25, 2007

Penyakit dan EM..

Dalam beberapa post lepas ada diceritakan penyakit-penyakit yang dialami di ladang cendawan kami. Melalui pemerhatian pada beg cendawan dalam proses peraman, terdapat jenis penyakit-penyakit tertentu yang menyerang semasa peringkat permulaan peraman (dalam beberapa minggu pertama lepas suntikan), dan semasa sedang diperam sehingga matang. Tapi disamping itu bukan saja serangan penyakit semasa peraman berlaku, serangan binatang/serangga juga berlaku secara fizikal. Dalam tempoh dua-tiga minggu kebelakangan ini, sebahagian kapas didalam penutup plastic pada beg-beg yang sedang diperam turut ‘ditarik keluar’. Peliknya saya tak pernah berjumpa binatang/serangga ‘misteri’ tersebut..kalau jumpa memang siap depa. Apa yang saya perasan adalah bila saya masuk ke rumah cendawan, didapati kapas-kapas bertaburan di lantai.


Kapas pada beg-beg diperam terjurai keluar.

Wujud juga kerisauan, jika serangga tersebut bersarang dan bertelur didalamnya dan boleh mendatangkan penyakit pada beg cendawan tersebut. Saya tak pasti tentang ini. Jika sesiapa yang tahu harap kemukakan pandangan/cadangan.

Dalam hal lain pula, tidak lama dulu saya ada ceritakan tentang sebahagian beg cendawan yang diserang penyakit yang menyebabkan beg cendawan diserang dan bertukar hitam. Walaubagaimanapun saya perasan ada antaranya baru-baru ini nampak dalam proses pulih kembali dengan sebahagian besar tompokan hitam secara perlahan-lahan bertukar menjadi putih. Pemerhatian akan terus dilakukan untuk melihat kesan pemulihannya.



Beg dihujung sebelah kanan sekali-kelihatan misilium ‘menawan’ kembali kawasan yang dahulunya dipenuhi tompokan hitam.


Kebelakangan ini sibuk diperkatakan tentang aplikasi Effective Microorganism (EM) dalam sektor pertanian, cendawan juga tidak terkecuali. Saya juga berminat untuk mencubanya di ladang cendawan. Ada pengusaha cendawan yang sudah mula menggunakannya, ada yang kata ok memberi kesan positif, ada yang kata sebaliknya. Saya pun sudah mendapat maklumat tentang EM. Sebenarnya saya pernah mendengarnya secara tak langsung hampir setahun dulu ketika menghadiri kursus cendawan tapi tak banyak maklumat tentangnya ketika itu. Jadi seeloknya biar saya cuba dan lihat sendiri kesannya.

Saturday, November 17, 2007

Pasaran baru

Alhamdulillah pada hari Khamis lepas 15 November 07, kami berjaya mendapatkan pasaran bagi hasil tuaian cendawan kami di dua kedai pasar basah. Memang kami merancang untuk mendapatkan pasaran terdekat berhampiran rumah kami di Ulu Kinta, Ipoh supaya urusan penghantaran mudah dan ekonomik dari segi kos penghantaran. Kedudukannya adalah amat strategik dan menjadi tumpuan utama penduduk taman sekitar. Jadi memang tak hairan apabila kami mendekati tuan punya kedai, dengan senangnya dia menerima deal kami setelah berbincang dan bersetuju dengan harga tolak yang diputuskan. Pada mulanya kami membawa sedikit bungkusan cendawan sebagai sample, tapi tak sangka terus dibelinya. Dan pada pagi Sabtu ini 17 November 2007, telah bermulanya penghantaran hasil cendawan kami ke kedai tersebut seperti dipersetujui.

Isteri saya dalam kesibukannya bekerja, banyak memainkan peranan dalam mendapatkan pasaran baru ini, maklumlah saya nie bukan jenis yang pandai bercakap apatah lagi dalam mencari pasaran dan membuat deal dengan baik. Perkara ini pada mulanya terasa berat hendak dilakukan, tapi akhirnya saya sedar jika perasaan egoistik/malu yang tak bertempat ini ada, kita tak akan maju ke mana dalam perusahaan kita. Bukan saja dalam perusahaan cendawan ini, mana-mana perusahaan pun sama. Terima kasih isteriku, saya kena belajar darinya lagi pasal ni..pandai bercakap dalam melakukan pemasaran dan membuat deal dengan baik :-)

Dengan ini senanglah hasil tuaian cendawan kami dipasarkan. Ini memandangkan pengeluaran hasil cendawan makin bertambah selaras dengan beg-beg cendawan yang mula matang. Jadi wujudnya keperluan mencari pasaran lebih luas lagi. Signifikannya, pada hari ini, hari pertama kami mula menghantar hasil ke kedai pasar basah; ia juga menandakan genap dua bulan kami menjual hasil cendawan semenjak menceburi perusahaan penanaman cendawan tiram kelabu. Selepas ini penjualan di pejabat akan dijadikan jualan sekundari selepas jualan primari di kedai-kedai ini demi memastikan penghantaran hasil secara konsisten.

Thursday, November 8, 2007

Penyakit oh penyakit..

Apa nak citer lagi yer..okay lah hari ini hari cuti umum cuti Deepavali, jadi sempatlah balik kampung sat dari Ipoh turun ke Air Tawar..dah lama tak buat pemeriksaan terperinci apa yang berlaku dalam rumah cendawan dan kemas2kan mana yang perlu..al maklumlah asyik pi tempat tuaian hasil cendawan saja, tak de masa nak check betul2 tempat peraman terutamanya. Balik kerja pun lewat petang, sekadar sempat buka dan tutup beg cendawan. Nasib baik orang tua dan adik beradik banyak membantu memetik hasil (biasanya dilakukan dua kali sehari pagi dan petang) dan melembapkan rumah cendawan.

Jadi bersama isteri, kami habiskan masa mencuci mulut beg cendawan sebelum ditutup, kutip penutup plastik yang berselerak untuk dibasuh. Cuci lantai dan tempatkan beg2 matang di bahagian tuaian.

Tapi yang paling tak syok tu, hari ni sekitar 80-90beg terpaksa diasing..atau mungkin lebih tepat dibuang..ada beberapa sebab. Pertama sekitar 20-25 beg tak disuntik, mungkin dalam sibuk2 buat suntikan ada yang tercicir. Ini bukan kali pertama..sebelum ini pun pernah berlaku. Di celah2 peraman tu baru perasan awat maisilium tak tumbuh2, rupa2nya bila dibuka penutup tiada benih cendawan.

Kedua pula, lebih kurang 1/3 dari beg tersebut maisilium rosak akibat adanya ulat-ulat di di dalamnya. Jumlah yang sama pula berlaku pada beg cendawan yang mana diperhatikan pada awalnya pertumbuhan maisilium tumbuh dengan baik tapi malangnya seolah dimakan dengan species yang tidak dikenali..benda baru kami alami, jadi seperti biasa bantuan otai2 akan diminta untuk mengenal pasti apakah species x ni.


Maisilium cendawan rosak dimakan. Seolah2 api yang membakar kertas.

Baki sebahagian kecil pula adalah terdapat beg cendawan kebanyakannya pada beg-beg yang tercicir dari disuntik mengalami cendawan species yang tidak diketahui apa namanya..tapi tumbuh menjalar dalam beg cendawan. Saya pernah lihat ni di ladang2 member yang lain sebelum ini. jadi tak berapa janggal melihatnya. Satu hal yang positif, kali ini serangan kulat jingga sudah tiada lagi..itupun hanya satu beg saja yang nampak kulat jingga di belakang beg dan beg tersebut akan diasingkan.


Cendawan putih menjalar dalam beg cendawan.

Memang sedih dan menyakitkan hati juga bila melihat beg2 cendawan ini semua dilonggok untuk dibuang..tapi ianya dijadikan panduan supaya tindakan2 perlu diambil untuk mengurangkan kerosakan seumpama ni berlaku di masa depan.

Setelah dua jam lebih di kampung, maka kami pun bertolak balik rumah di Ipoh. Bawak sekali hasil tuaian, terdapat permintaan tinggi dari pejabat saya terutamanya member2 cina yang suka makan cendawan tiram kelabu ni, ada seorang mamat tu order 2kg. Sudah banyak kali dia minta. Nasib dia baik kali ini. Esok makan besarlah dia cendawan ipoh mali punya ;-)

Sunday, October 28, 2007

Perkembangan projek selepas raya

Sudah lama saya tak update blog ini semenjak raya Aidilfitri baru ini lantaran raya ke sana sini dan kesibukan pekerjaan harian.

Cuti perayaan baru-baru ini nampaknya dihabiskan di dalam rumah cendawan di kampung. Sebahagian beg cendawan yang dibuat sepanjang bulan puasa lalu diserang penyakit terutamanya kulat jingga. Beberapa hari sebelum 1 Syawal, diperhatikan beberapa beg telah mula diserang penyakit ini, ada yang muncul di belakang beg ditempat yang terlindung dan ini mencemarkan beg sekeliling. Sepanjang cuti raya di Melaka pula hati duk risau terfikir2 hal ini. Nasib baik partner kembali ke kampung pada raya kedua dan melakukan pengasingan. Bila saya kembali ke kampung pula pada raya ke tiga, keesokan harinya banyak dihabiskan di rumah cendawan untuk mengasingkan beg tercemar teruk..berpuluh-puluh beg dibuang setiap hari sepanjang beberapa hari sepanjang minggu pertama perayaan. Setakat ini sudah hampir 180 beg telah terlibat atau lebih kurang 15% keseluruhan beg yang dibuat. Memang menyakitkan hati apabila melihat beg-beg ini diasing dan dibuang. Ada juga yang boleh dipulihkan kembali tapi tak banyak bergantung sejauh mana keseriusan serangan penyakit. Alhamdulillah, setelah kerja-kerja intensif pemerhatian dan pengasingan yang dilakukan tiap-tiap hari dan semburan antiseptik..bilangan beg-beg cendawan tercemar dan diasingkan mula berkurangan dan kesannya sehingga hari ini tiada lagi serangan kulat jingga dan penyakit lain diperhatikan semenjak akhir minggu pertama Syawal. Harap keadaan baik ini berterusan.


Kulat jingga tumbuh mcm belon di mulut cendawan selepas beberapa hari diasingkan

Lantaran dari peristiwa ini, proses untuk membuat beg terpaksa diberhentikan dahulu. Pembersihan rumah cendawan juga akan dilakukan. Begitu juga cara kerja penyediaan beg cendawan akan dikaji untuk mencari kelemahan dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini.

Awal minggu ini bisnes cendawan kembali berjalan selepas penuaian cendawan diberhentikan sementara waktu kerana cuti panjang perayaan, kalau adapun hanya untuk kegunaan sendiri dan juga untuk diberikan pada sedara mara atau tetamu yang datang beraya. Tetamu yang datang beraya di kampung turut berminat jengok rumah cendawan dan melihat sendiri mcmana cendawan dihasilkan. Seronok juga bila melihat mereka memetik hasil cendawan.


Bisnes berjalan kembali selepas cuti panjang. Hasil bungkusan cendawan yang siap untuk dijual

Friday, October 12, 2007

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1428H / 2007M

Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri ditujukan kepada pengunjung muslim laman blog ini. Semoga amal ibadat yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan tahun ini diterima Allah SWT dan dapat menjadikan kita menjadi insan yang lebih bertakwa. Maaf Zahir Batin.

Sunday, September 30, 2007

Tuai dan tuai..

Sudah dua minggu kami berterusan menuai hasil cendawan. Insya Allah dijangka akan bertambah lagi kerana ada lagi yang sudah matang dan boleh dituai. Memang seronok apabila melihat hasil tuaian dari penat lelah buat beg cendawan dengan keringat sendiri..


antara tuaian kali ke dua

Petang semalam, kami telah memetik cendawan paling besar pernah dihasilkan di rumah cendawan kami setakat ini..sebesar dua tapak tangan ..he he..


cendawan sebesar dua tapak tangan

Ianya tak dijual..sebaliknya bersama hasil tuaian lain turut dibawa balik ke Ipoh. Dan malam tadi sudah digoreng buat cendawan goreng..slurp kenyang :-)


Cendawan goreng tepung

Mungkin ada yang ingin mengetahui resepi cendawan goreng tepung..saya pernah postkan resepinya tak lama dulu..boleh klik di sini jika berminat.

Sunday, September 23, 2007

Mula menuai dan menjual..

Syukur setakat ni jualan cendawan memberangsangkan. Jualan di pejabat pagi2 lagi dah habis. Untuk seminggu pertama hasil tuaian lebih kurang sekilo sehari..tak tentu, ada hari lebih, ada hari kurang. Jadilah untuk permulaan sementara menunggu hasil yang lebih tinggi dimasa akan datang. Untuk hasil yang sedikit ini, jualan di pejabat saya dan isteri sudah mencukupi itu pun ada beberapa kali terpaksa ditolak atau dapat disediakan pada hari kemudiannya lantaran permintaan yang tinggi dari rakan2 sepejabat. Ada juga pihak yang menghubungi untuk mendapat bekalan cendawan yang banyak dan konsisten, tapi kami terpaksa tolak buat masa sekarang kerana tidak dapat memenuhi permintaan berkenaan.

Sekarang ni pula semenjak mengupah pekerja, banyak beg dapat disediakan dan dikukus, tetapi banyak pula beg2 yang menunggu dalam bilik suntik untuk disuntik. Semalam saja sampai ke luar bilik suntikan. Setakat ni tak berani bagi budak2 tu buat suntikan..risiko besar. Lagi pun mereka bukan setakat buat beg, tapi kena kukus, hantar beg ke bilik suntik, susun balik dalam rumah cendawan, petik hasil, lembapkan rumah cendawan..pendek kata semua aspek kecuali suntik..tapi suatu masa nanti kena jugalah..kalau tidak tak terbuat juga..tambah pula masing2 bekerja pula tu.



Beg yang belum disuntik. Hujung minggu ni partner akan buat suntikan pada semua beg.

Bila dah upah budak2 ni, perancangan sumber memang pentinglah supaya kerja tak sangkut..kena pastikan beg plastik cendawan, dedak dan sebagainya sentiasa ada atau mencukupi. Kalau tidak jadi mcm kami, semalam saja kerana kehabisan dedak, terpaksa beritahu budak2 tu kerja separuh hari. Tak per lah, sementara tu boleh lah suntik beg2 yang berlambak kat bilik suntik tu sampai melimpah ke luar tu.

Di samping itu, pengurusan masa juga penting dalam memastikan kerja melembapkan rumah cendawan, memetik hasil, membersih dan menutup kembali beg cendawan yang telah dituai hasil dan sebagainya dapat dilakukan dengan baik.

Semalam di kampung, saya dan isteri bertukang tambah lagi satu layer netting; kira double layer lah..sebelum ni satu layer netting 70% cukup terang (ada juga otai2 komen pasal ni bila berjumpa) dan terasa sangat di dalam rumah cendawan bila angin kuat dan ini membawa risiko potensi pencemaran luar untuk masuk. Di samping itu pasang paip air dalam rumah cendawan untuk menyenangkan proses melembapkan rumah cendawan. Semua ni perlu dilakukan kerana proses tuaian sudah pun bermula dan ini penting untuk menghasilkan pulangan yang baik dan berkualiti.

Sunday, September 16, 2007

Dapat juga pekerja akhirnya..

Alhamdulillah, akhirnya kami dapat mencari pekerja tempatan. Selama ini tak banyak progress kerana kalau harapkan buat beg cendawan sendirian pada hujung minggu bukanlah banyak mana pun. Ok jugalah hari pertama banyak beg yang dapat dibuat. Di samping itu kami ajar sekali buat kukusan, memetik cendawan dan kerja membersih rumah cendawan. Objektif utama kami adalah untuk menyiapkan beg cendawan dalam tempoh masa tertentu supaya kos dapat dioptimumkan. Bulan Ramadan ni, tak bolehlah rigid sangat masa bekerja, jadi kami lebih fleksibel sikit kalau depa balik awal.


Dua pekerja sedang membuat kerja beg. Oklah depa ni cepat pick up :)

Rezeki Ramadan, dengan jumlah yang ada kami sudah boleh menuai dan menjual cendawan biarpun tak banyak. Itu pun isteri bawa jual di pejabat.


Antara packing yang sedia untuk dijual

Sempena kedatangan Ramadan ni, kami ambil kesempatan mengucapkan kepada pengunjung muslim blog ini; Selamat Berpuasa di bulan Ramadan Al Mubarak, Bulan Penuh Keberkatan dan Keampunan.

Sunday, September 2, 2007

Lawatan ke ladang cendawan Fatisha

Dalam perjalanan balik rumah di Ipoh, hari ini saya dan isteri sempat singgah ke ladang cendawan Fatisha di Sg Ramal Dalam, Kajang, tuan punya blog siswazah-tani.blogspot.com. Seperti Ayne, saya juga pernah melawat ladangnya tidak lama dulu dan masukkan lawatan tersebut dalam blog ini. Memang banyak perkembangan di ladangnya berbanding kali terakhir kami melawat pada awal bulan Jun 2007. Yang mana masa melawat dulu banyak raknya masih kosong tapi kali ni boleh dikatakan hampir semua raknya penuh. Tong pengukus pun bertambah. Cik Fatisha ni bukan setakat cendawan sahaja, cempedak pun dijualnya. Ketika berjumpa, beliau baru balik dari menjual cempedak. Semangat gigihnya memang dikagumi.


Hampir semua rak telah dipenuhi di ladang cendawan Fatisha.

Sesungguhnya pertemuan begini samada bersama Ayne (Saudara Faisol) mahupun Fatisha (Saudari Rusila) memang bagus kerana kami dapat bertukar pengetahuan dan pengalaman termasuk masalah serangan penyakit dan cara mengatasinya dalam memajukan projek cendawan masing-masing.


Saturday, September 1, 2007

Lawatan ke Ladang Cendawan Ayne

Sempena cuti Merdeka ini, dapatlah berjalan jauh-jauh sikit. Hari ini saya dan isteri berkesempatan melawat sekali lagi ke ladang cendawan Ayne, seorang pengusaha cendawan di Bakri, Muar, Johor. Sesiapa yang selalu layari forum pertanian khususnya berkaitan topik cendawan di bicarajutawan.com pasti akan kenal beliau (nama sebenarnya Saudara Faisol). Saya pernah melawat ladangnya tidak lama dulu dan masukkan lawatan tersebut dalam blog ini. Saya tertarik dengan idea kreatifnya yang telah pun dizahirkan secara fizikal. Kemahirannya dalam kerja welding adalah merupakan kelebihan padanya. Alat kukus bergerak atau mobile steamer ini merupakan satu ciptaannya yang sungguh unik dan praktikal. Ini kerana selepas dikukus, proses memindahkan beg-beg cendawan untuk proses berikutnya dapat disingkatkan dengan ketara. Sesiapa yang usahakan cendawan pasti boleh bayangkan masalah penghantaran dari tempat penyediaan beg ke tempat kukus kemudian ke bilik suntik secara manual. Kukus bergerak ini berkapasiti memuatkan kira-kira 400beg.


Sebahagian alat kukus bergerak ciptaan terbaru Ayne, paip dibawah akan disambungkan ke tong drum boiler - semasa saya datang saudara Faisol sedang menguji ciptaan terbarunya. Semoga sukses nanti. Inovasi baru yang boleh diaplikasikan.

Progres di ladang cendawan Ayne.

Friday, August 31, 2007

Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Kepada pengunjung blog ini dan rakyat Malaysia, Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Negara Kita Malaysia ke 50. Semoga keamanan dan kemajuan yang dinikmati berterusan hendaknya. Amin.

Sunday, August 26, 2007

Masalah pekerja pulak..

Lama tak update blog ni lantaran kesibukan kerja harian, namun begitu projek cendawan masih tetap berjalan. Bila balik keje kalau tak jengok rumah cendawan rasa tak lengkap. Kekadang bila ramai dah sediakan banyak beg cendawan hujung minggu, tugas saya pula adalah kukus dan suntik. Biasanya kukus dilakukan petang lepas balik keje (kalau stay di kampung lah di Air Tawar, rumah saya di Ipoh)..manakala suntik pula samada dilakukan petang lepas balik keje atau awal pagi sebelum pergi keje.

Dalam minggu ni kerja beg cendawan terganggu sedikit kerana pekerja Indonesia yang diupah tidak bekerja dengan konsisten, sekejap datang sekejap tidak. Selidik punyer selidik, rupanya dia tak berminat kerana upah diberi rendah berbanding upah keje dia sebelum ini di ladang kelapa sawit. Jadi dia ni kira keje part time jer dengan kami sementara tauke dia panggil balik keje. Memandangkan dia pun tak berminat, kami mencari pekerja lain. Minta pertolongan ayah dan emak untuk canang2kan pada org kampung berhampiran. Harap2 masalah pekerja dapat diselesai dengan segera.

Buat pertama kalinya satu bentuk cendawan pelik sikit muncul dicelah-celah beg2 cendawan yang dibuang..takut tengok pun ada juga. Setakat kulat oren tu dah biasa dah. Semalam saja-sajalah ambik gambar kat situ..pagi tadi tgk2 dah naik cendawan berkelopak hitam.


Petang semalam Sabtu 25 Ogos 07


Pagi tadi Ahad 26 Ogos 07. Cendawan tiram kelabu pun tak naik secepat begini ;)

Saturday, August 11, 2007

Antara Penyakit Yang Melanda..

Masa berjalan..nampaknya beberapa penyakit mula menyerang beg-beg cendawan yang sedang diperam. Antara yang dihadapi adalah seperti menyebabkan beg berwarna hitam di tengah beg seperti di bawah..


Perasan tompokan hitam di tengah beg dlm pertengahan minggu ni pada beg yang disuntik pada 18 Julai 07 lepas. Nasib baik setakat ni hanya satu beg nie sahaja dikesan.



Beberapa beg juga didapati ada tompokan warna hijau kuning..berdasarkan pada pengalaman lampau ini tidaklah serius.


Walaubagaimanapun Alhamdulillah kerana secara keseluruhannya, hanya beberapa beg sahaja terlibat jika dibandingkan dengan jumlah beg yang ada. Kerja-kerja pemantauan sentiasa dilakukan dari masa ke semasa, jadi jika ada masalah berlaku tindakan segera dapat diambil sebelum terlewat.


Di samping itu, ada juga didapati beg tak sampai sebulan diperam sudah mula keluar cendawan.

Akhirnya kami berjaya mendapat seorang pekerja Indonesia untuk buat beg. Dia datang pada Ahad esok, jadi kena luangkan sikit masa untuk ajar mcmana buat bancuhan, gaul dan membuat beg. Tapi kerja suntikan masih dilakukan sendiri. Dengan adanya tenaga kerja tambahan ni, kerja-kerja buat beg untuk mengisi rak dapat dipercepatkan.

Sunday, August 5, 2007

Perkembangan Terkini..

Hari ini untuk kali pertamanya, saya melihat sendiri mcmana bentuk kulat oren. Beberapa beg cendawan telah diserang kulat oren; terkena pada beg-beg yang dikukus semula hasil akibat tak cukup kukus. Nasib baik diletakkan di tempat berasingan jadi kuranglah risiko merebak. Sebagai langkah perlu dengan segeranya saya buangkan beg2 berkenaan, periksa beg-beg lain jika ada yang terkena. Alhamdulillah nampaknya tiada. Semburan antiseptik juga dilakukan untuk mengelakkan risiko jangkitan dan langkah pencegahan. Rakan saya Fatisha mengalami pengalaman ini lebih awal dan dia telah pun merekodkannya dalam blognya. Ini sedikit sebanyak telah membuatkan saya bersedia menghadapinya kerana kebanyakan otai2 pun mengalaminya.


Beg cendawan yang diserang kulat jingga. Akhirnya terkena jua..

Hujung minggu ini dihabiskan untuk buat beg2 cendawan dan juga kerja2 suntikan. Adik-beradik bila cuti berkampung banyak membantu begitu juga pasangan masing2. Bukan senang berkumpul ramai2. Masing2 ada kehidupan dan urusan sendiri. Jadi bila berkumpul buat beg cendawan, ianya secara tak langsung merapatkan hubungan mesra dan tahu perkembangan antara satu sama lain.

Memandangkan perkembangan baik pertumbuhan beg cendawan seperti yang dikehendaki, maka saya dan adik ipar; rakan kongsi telah mencapai kata putus telah sampai masanya untuk mengupah pekerja untuk kerja2 penyediaan beg bagi mengisi rak2 yang kosong. Untuk suntikan, kami akan buat sendiri kerana ia memerlukan kerja yang teliti dan berisiko tinggi untuk gagal jika tidak dibuat dengan kaedah sepatutnya.


Perkembangan beg cendawan disuntik pada 16 Julai 07. Lihat gambar di bawah sekali di dalam catatan blog bertarikh 26 Julai 07 untuk perbandingan progres misilium.

Untuk pertama kalinya pada Jumaat lepas, sebahagian beg cendawan telah pun dijual pada pembeli pertama. Tak banyak tapi ianya sangat bermakna kerana itulah urus niaga pertama projek ini.. Sekarang usaha terpaksa dilipatgandakan memandangkan ada lagi tempahan yang perlu disediakan. Secara tak langsung perkembangan positif kebelakangan ini memberi semangat dan perangsang pada kami untuk berusaha dengan lebih gigih lagi.

Thursday, July 26, 2007

Alhamdulillah..Masalah utama selesai..

Akhirnya setelah beberapa kali trial and error..masalah utama untuk memastikan kaedah kukus yang boleh menghasilkan kejayaan suntikan dengan kadar yang tinggi berjaya diselesaikan..Syukur Alhamdulillah, selepas seminggu lebih kerja suntikan pada beg-beg cendawan yang dikukus pada 15 Julai 2007, keseluruhan beg cendawan tersebut berjaya mengalami pertumbuhan miselium dengan baik. Tiada tanda-tanda serangan bendasing setakat ni. Juga tiada masalah tompokan putih yang menyerang di tengah2 beg tanda tak cukup kukus yang biasanya boleh dikesan tak sampai seminggu selepas kukus berdasarkan pengalaman lepas. Semoga keadaan positif nie berterusanlah hendaknya. Beberapa tindakan drastik yang diambil-cara kukus dan memperbaiki prosedur suntikan yang lebih baik membuahkan hasil yang dikehendaki akhirnya. Nampak gayanya dah boleh all-out nie :) bersemangat nak penuhkan rak-rak tu dan tunggu hasilnya. Kepada yang order beg cendawan tu, Insya Allah dalam masa terdekat nie bolehlah permintaan tu dapat dipenuhi.

Kelihatan miselium tumbuh dengan baik.

Lagi…16/7 adalah tarikh suntik 16 Julai lepas..sejuk mata memandang he he

Wednesday, July 18, 2007

Tak Cukup Kukus

Mungkin ada yang nak tahu macamana bentuk beg cendawan bermasalah yang saya maksudkan dalam posting baru-baru ini. Gambar di bawah adalah bentuk beg bermasalah tersebut..ianya adalah berpunca daripada tidak cukup kukus. Banyak juga beg cendawan mengalami keadaan yang sama. Peratus menjadi setakat ni ada ler dalam 40%. Angka yang sedih jugak lah..apa nak buat. Apapun ini semua adalah pengalaman yang berguna dan banyak dapat dipelajari darinya. Alhamdulillah malam ni seperti dirancang, setakat ni lebih kurang 150 beg sudah disuntik, tinggal sikit lagi dan akan sambung malam berikutnya pula dan akan dilakukan oleh partner pulak..bagi dia pengalaman buat suntikan sorang2 pulak..Lepas ni senanglah dia handle kalau partner dia yang ni sibuk pulak. Semoga beg-beg cendawan yang dikukus baru-baru ini tidak akan mengalami masalah yang dialami dalam kukusan sebelum ini. Amin


Beg yang tidak cukup kukus

Sunday, July 15, 2007

Aktiviti Hujung Minggu

Hujung minggu ini dihabiskan dengan aktiviti membuat beg cendawan. Bezanya kali ini menggunakan tong drum yang baru diperolehi. Tempat kukus bata masih lagi perlu diperbaiki kerana setelah hampir tiga minggu disuntik terdapat kesan jelas beg-beg cendawan mengalami tompokan putih di tengah beg. Hampir separuh mengalaminya. Disebalik itu ada juga yang menjadi dengan pertumbuhan misileum baik setakat ini tapi ianya tidak memuaskan jika terus menggunakan tempat kukus berkenaan untuk produksi besar2an. Rujukan dengan otai-otai cendawan, semuanya bersependapat mengatakan masalah tak cukup kukus. Terima kasih pada Lutfi, Ayne dan Fatisha atas komen dan cadangan diberikan. Bermakna modifikasi terhadap tempat kukus bata masih perlu dilakukan yang mana masa dan kos diperlukan lagi untuk diperbaiki. Biasa ler mula2 start mesti ada masalah..ini semua telah pun dijangkakan he he. Lagi pun kapasiti yang besar tidak praktikal untuk kukus setakat 200-300 beg..tak sampai separuh kapasiti tempat kukus bata. Memandangkan sudah pun terdapat permintaan segera dari rakan-rakan dan juga melalui internet, maka keputusan segera telah diambil untuk menggunakan tong drum buat sementara itu. Nasib baik di pekan Air Tawar, Perak banyak kedai barang2 terpakai yang menjual tong drum. Balik kerja sempat singgah, survey dan terus beli.

Hari ini saja hampir 200 beg cendawan telah dikukus. Insya Allah kali ini rasanya tiada masalah tak cukup kukus kerana sehingga ptg tadi pukul 2pm tadi beg cendawan masih terasa bahang panas walaupun kukus berakhir pukul 12.30am pagi Ahad. Melalui pengalaman yang lepas2, ini menunjukkan beg cendawan telah pun mengalami proses pengukusan dengan baik. Bacaan thermometer dalam tong dram pun menunjukkan suhu yang cukup baik untuk pengukusan sempurna. Dalam tempoh sejam lebih sikit selepas dikukus, bacaan sudah pun mencecah 90 darjah Celcius. Kalau dibandingkan dengan tempat kukus bata, walaupun sudah tujuh jam dikukus, bacaan 90 darjah Celcius masih belum dicapai!

Sekurang-kurangnya dua hari diperlukan untuk beg cendawan sejuk dan boleh disuntik. Aktiviti berikutnya pula adalah kerja suntikan yang akan dilakukan selepas waktu kerja.

Thermometer pada tong drum. Dengan penggunaan alat mudah ni, penggunaan gas dan masa pengukusan dapat dioptimumkan.

Saturday, July 7, 2007

Berkunjung ke Perak Agrofest 2007 di Sg Siput, Perak

Sempena Perak Agrofest di Sg Siput yang sedang berlangsung dari hari ni hingga ke 9 Julai 07, petang tadi saya dan isteri mengambil kesempatan ke sana. Memang luas tapak pameran disediakan, begitu banyak tempat menarik untuk dilawati bukan setakat penyertaan dari agensi-agensi kerajaan dan bank, pihak swasta termasuk syarikat-syarikat kecil dan baru juga mengambil kesempatan menonjolkan produk masing-masing. Sambutan orang ramai memberangsangkan sehinggakan parking kenderaan pun susah.

Dalam banyak-banyak tu adalah satu kiosk menarik perhatian saya kerana di situ dipamerkan beg cendawan di samping produk-produk hasil pertanian lain. Hanya kiosk Pertubuhan Peladang sahaja yang ada cendawan, kalau fertigasi tu bukan takat di situ sahaja..dua tiga agensi-agensi lain turut mempamerkannya. Ramai juga pengunjung tertarik, mungkin itu kali pertama mereka melihat secara langsung cendawan tiram kelabu yang muncul di beg cendawan. Tapi sayang juga melihat ada hasil yang dah mula mengerinting dan layu kerana terlebih matang. Banyak juga info yang didapati dari petugas2 di situ. Masa masih ada lagi sehingga Isnin ini 09 Julai 2007 untuk yang berminat untuk berkunjung.

kiosk Pertubuhan Peladang

cendawan tiram kelabu dipamerkan di kiosk Pertubuhan Peladang

pembungkusan cendawan dibawah nama Peladang

Thursday, June 28, 2007

Lagi progres cendawan

Banyak aktiviti kerja cendawan dilakukan dari akhir minggu lepas ke awal minggu ni. sebahagian dari rak dah pun mula diisi dengan beg cendawan. Buat permulaan tak banyak, buat sikit2 dulu untuk tgk keberkesanan tempat kukus dan juga bilik suntik. Jenuh juga buat keje suntikan bila buat atas lantai..sakit lutut dibuatnya. Dan juga bertambah leceh bila buat kerja suntik menggunakan anak benih yang dibungkus dalam beg plastik. Suntikkan menggunakan botol lagi mudah kerjanya. Yang dalam beg plastik tu dibeli dari Uncle Tian, pengusaha cendawan dari Johor. Dikenali sebagai TB2. katanya boleh keluarkan hasil dalam tempoh sebulan..so nak tgk mcmana hasilnya nanti..yang dalam botol tu pula adalah anak benih biasa yang matang dalam tempoh dua bulan..so akan dibuat perbandingan antara kedua-duanya termasuk dari segi berat hasil, bilangan tuaian dan sebagainya.

Nampaknya kena sediakan meja baru selesa buat kerja suntik. Tapi risau juga kalau2 terkena serangan kulat oren kerana ada rakan2 yang dah terkena serangan ini. Sebagai langkah berjaga-jaga, di bilik suntik semua lubang atau potensi bendasing datang dari luar ditutup serapat mungkin. Harap2 tak kenalah.

rak mula diisikan beg cendawan buatan sendiri. Banyak rak kosong lagi. Pelan2 buat..

Ada yang kata beg cendawan didirikan akan cepat naik miselium, jadi sebahagian beg diletak dalam keadaan berdiri untuk perbandingan dengan yang dibaringkan di rak..eksperimen sikit.

Tuesday, June 26, 2007

Rumah Cendawan Siap

Akhirnya hari ini barulah siap sepenuhnya rumah cendawan..sebenarnya hampir siap..Cuma dinding jaring jer yang belum siap sebelum ni..tu yang lama tertangguh tu akibat kesibukan kerja harian..bolehlah beroperasi dengan sepenuhnya lepas ni.


Rumah cendawan kami

Terletak berdekatan dengan pokok durian..tak lama lagi bolehlah makan durian sementara menunggu hasil cendawan.

Buah durian..menunggu masa untuk gugur

Monday, June 25, 2007

Kemalangan kecil semasa proses pengujian tempat kukus

Sabtu baru ni adalah hari dalam sejarah hidup saya..masa tengah nak nyalakan dapur di dalam tempat kukus untuk test ke dua, tetiba letusan api macam dari mulut naga keluar menyambar muka..habis sebahagian rambut depan, bulu kening hangus terbakar begitu juga alis mata.. isteri saya kata alis mata yang panjang melentik dah takde dah..tinggal pendek togel :) .. peristiwa berlaku depan isteri, emak dan adik beradik saya..panik juga masa kena tu..panasnya tak usahlah dicakap..syukur Alhamdulillah nasib baik takat tu..kalau muka cedera sekali tak tau nak cakap..so pengajarannya..berhati2 masa buat kerja kukusan ni..satu lagi silap saya adalah hanya satu bukaan saja disediakan menyebabkan oksigen tak cukup dan api mudah pula padam kerana hal ini. Masalah bertambah serius bila api padam tapi gas terus keluar menyebabkan seolah ianya semacam satu bom yang sedia meletup bila dicucuh api..dan itulah yang saya terkena. Asalnya nak buat secara terbuka kat bahagian dapur tu, tapi si tukang salah faham..sebaliknya satu bukaan disediakan dan saya pulak tak sempat nak tengok dan komen masa stage pembinaan, so terus guna je lah..

Beberapa bukaan luas dibuat supaya sistem pengudaraan lebih baik dan selamat untuk tempat kukus digunakan.

Lanjutan dari pada peristiwa yang tak disangka ini, beberapa bukaan baru dibuat supaya sistem pengudaraan lebih baik dan selamat untuk tempat kukus ini digunakan. Dapur yang uzur pun turut diganti baru. Bila tiba tentang keselamatan, kos tidak perlu dikira sangat..so pada sesiapa yang nak design benda2 mcm ni nanti, faktor keselamatan harus diambil kira supaya tidak berlaku pada anda seperti apa yang telah saya alami. Akhirnya semalam Ahad tengahari, baru siap sepenuhnya dan tempat kukus tersebut digunakan kembali dengan perasaan lebih selamat dan lega.

Wednesday, June 20, 2007

Oppss..ada gangguan pada pertumbuhan miselium

Tak semua beg yang berjaya disuntik akan menjadi dengan lancar sepenuhnya dan kita boleh lega..ada yang dalam tempoh peraman akan mengalami gangguan..inilah yang saya alami..


bahagian bawah beg diserang menjadi kelabu hijau pada minggu ke empat setelah disuntik (boleh dilihat dengan kontras di beg belakangnya yang mana miselium bertumbuh dengan baik).. Ingatkan pada mulanya mungkin pertumbuhan miselium akan gagal..


tapi akhirnya miselium cendawan akhirnya berjaya ‘menakluki’ kawasan kelabu dua minggu kemudian dan berkembang ke bawah dengan baik..ini kira serangan ringan..kalau yang teruk tu, terus tergencat dan mcm2 warna-warni keluar..

Tak lama lagi boleh ler menikmati hasil tuaian sendiri..tak payah beli..ambik kat dalam rumah jer :-)

Monday, June 18, 2007

Pilot run untuk tempat kukus

Hari Sabtu dan Ahad baru nie, banyak habiskan masa buat beg cendawan. Nasib baik hujung minggu nie ramai adik beradik ada, so boleh ler depa tolong skit..memang banyak membantu kerja pun :)

antara beg cendawan baru siap sebelum dikukus

Selain dari buat beg cendawan nie, objektif utama adalah untuk testing tempat kukus..nak tengok sejauh mana keberkesanan alat kukus nie kot2 ada yang perlu diubah ker supaya lebih optimum dan ekonomik..seperti aras air, tempoh kukus dan sebagainya. Lewat malam Ahad semalam baru habis proses kukus. Secara kasarnya setelah berakhir kerja kukus, beberapa kelemahan dikenalpasti untuk diperbaiki sebelum boleh digunakan dengan sepenuhnya.

Monday, June 11, 2007

Hasil Cendawan Sendiri

Tak sangka dalam banyak-banyak beg cendawan yang gagal dalam percubaan pertama sekitar akhir bulan Feb 07 lalu, adalah juga beberapa kerat beg yang menjadi akhirnya, itupun hampir-hampir terlupa nak jengok setelah sekian lama..apa pun inilah hasil cendawan pertama dibuat sendiri sepenuhnya..sejuk juga hati melihat ada juga yang menjadi dari berpuluh-puluh yang gagal :-)


hari pertama anak cendawan kelihatan tidak lama selepas penutup dibuka

hari kedua, cepat membesar

hari ketiga, bersedia untuk dipetik

Monday, June 4, 2007

Lawatan ke projek cendawan Fatisha di Sg Ramal Dalam, Kajang

Hari ni dalam perjalanan balik Ipoh sempat juga meluangkan masa ke projek cendawan Fatisha di Sg Ramal Dalam, Kajang, Selangor, seorang lagi kenalan dari forum BJ. Pada mulanya ingatkan tak siap lagi..rupa-rupanya dah siap dah, tinggal nak isi beg cendawan dalam rumah cendawan..laju juga pembinaan projeknya..dalam tempoh tiga minggu sudah siap.

Fatisha nie nickname dia jer yang popular dalam dunia siber, nama sebenar adalah Rusila Yusof..tapi entah mcmana kami suami isteri lebih senang panggil Fatisha jer..Menariknya perusahaan ini diusahakan sendiri oleh Cik Fatisha, bakal usahawan muda wanita dengan syarikatnya; Fatisha Agro Farm. Bangga juga melihat gadis muda ini mengusahakan perusahaan yang berpotensi mendatangkan pendapatan lumayan..apatah lagi Fatisha ni mempunyai ijazah Sarjana Sains(MSc) dalam chemistry!

Rumah cendawan Fatisha yang telah pun siap bersaiz 20’ x 40’. Menurut Fatisha, ianya boleh memuatkan lebih kurang 18ribu beg cendawan.


Sebahagian rak yang telah pun berisi beg cendawan

Kejayaan Fatisha kelak pasti akan membuka mata graduan2 muda akan potensi pertanian.


Sunday, June 3, 2007

Lawatan ke Ladang Cendawan di Bukit Naning, Muar

Sabtu semalam sempat juga meluangkan masa berjumpa saudara Faisol atau nickname dia Ayne (dalam forum BicaraJutawan) di Bukit Naning, Muar, Johor. Mulanya ingatkan dia ni wanita, bila call rupanya lelaki..nickname tu yang buat confius sikit :-)

Saudara Faisol kita ni adalah pengusaha cendawan tiram kelabu, saya kagum dengannya kerana walaupun graduate dalam bidang sains komputer tapi mengusahakan juga penanaman cendawan. Dia seorang yang kreatif kerana mencipta mesin pengaul medium cendawan dengan mudah dan murah..menggunakan bahan-bahan terpakai..


Mesin pengaul medium ciptaan saudara Faisol, boleh membancuh untuk 100 beg cendawan dalam 10 minit sahaja. Kalau penggaulan dibuat manual dengan tulang empat kerat..ehmm jauh beza..letih badan dibuatnya..


Rumah cendawan saudara Faisol yang dibuat sendiri.


Cendawan segar yang siap dibungkus plastik dalam 250grm.

Terima kasih kerana meluangkan masa bersama kami suami isteri. Ini adalah kali kedua kami berjumpa dengannya. Saudara Faisol banyak memberikan tips-tips berguna. Semoga perusahaan cendawan saudara Faisol bertambah maju.