Monday, May 14, 2007

Sekapur sirih

Assalammualaikum & selamat sejahtera semua pengunjung-pengunjung yang mengunjungi blog saya yang seadanya ini. Blog ini dibuat untuk mengisahkan kisah hidup saya bersama cendawan yang baru bermula..Mudah kata, ianya mengisahkan usaha serius saya menceburi bidang perniagaan berasaskan pertanian khususnya cendawan tiram kelabu. Moga-moga dipermudahkan Nya dan berjaya hendaknya. Insya Allah.

Setelah menghadiri kursus asas tentang cendawan tiram kelabu pada akhir tahun lepas (Disember 2006), melawat ke beberapa ladang cendawan sehingga ke Johor, berjumpa agensi-agensi kerajaan berkaitan dan membuat hitung panjang tentang potensi cendawan ini, maka akhirnya kata putus telah diambil untuk menceburi bidang ini. Apatah lagi setelah adik ipar berminat dan menjadi rakan kongsi dalam projek ini..lagilah senang cerita..

Bertempat di Kg. Banjar di Air Tawar, Perak (lebih kurang 10km ke Sitiawan dan 70km ke Ipoh), pada cuti panjang tahun baru Cina Februari 2007 lalu; maka bermulalah projek cendawan dengan pembinaan rumah cendawan bersaiz 6m x 8m. Bermula dengan kecil-kecilan dulu..
















18 Feb 2007: Hari pertama kerja fizikal untuk rumah cendawan dijalankan..tiang-tiang untuk rumah cendawan. Langkah pertama akhirnya telah pun bermula..


Dijalankan dengan berdikit-dikit tapi konsisten memandangkan masing-masing bekerja, jadi masa terluang hanyalah pada hujung minggu dan untuk menjimatkan kos, kami buat sendiri mana yang boleh.

Selain dari rumah cendawan, kerja yang leceh adalah membuat rak-rak cendawan. Kos juga banyak dihabiskan ke sini dengan pembelian kayu-kayu. Dengan membeli terus dari kilang kayu, ianya lebih ekonomik. Nasib baik dengan pertolongan isteri, mak ayah dan adik-beradik terutama masa hujung minggu, maka sekali lagi kos upah tenaga dapat dielakkan..save sikit budget dan masa.




















tiang-tiang untuk rak cendawan.

Dan terkini 14 Mei 2007:



















tempat kukus dalam progres..Menggunakan bata sepenuhnya dengan bersaiz 4 kaki x 5 kaki x 5 kaki. Boleh memuatkan kira-kira 800 beg sekali kukus. Hanya tinggal lantai dan pintu untuk disiapkan.



















kerja pemasangan kayu dinding untuk jaring
















pandangan keseluruhan progress rumah cendawan.











miselium berwarna putih bercambah dari mulut beg, tanda awal suntikan menjadi

Alhamdulillah, eksperimen suntikan cendawan, akhirnya berjaya setelah beberapa kali gagal. Yang peliknya yang isteri buat jadi, saya punya tak jadi. Tak kisah lah..apapun yang penting dah tau apa puncanya. Risau juga pada mulanya, rumah cendawan nak siap tapi bab suntikan masih tak lepas lagi. Syukur akhirnya menjadi. Dalam tempoh seminggu, keberhasilan suntikan cendawan boleh dilihat. Dengan ini kejayaan ini, barulah yakin untuk melakukan proses pengeluaran beg cendawan secara besar-besaran.

Saya masih baru lagi dalam bidang ini, jadi masih banyak kekurangan yang perlu dipelajari. Oleh yang demikian sesiapa yang sudi menyumbangkan idea/nasihat yang berguna amat dihargai. Kenalan-kenalan siber juga telah banyak membantu selama ini terutama otai-otai yang berkecimpung dalam penanaman cendawan ini yang ada antaranya telah pun bersemuka. Pada yang baru menceburi kita sama-sama belajar bertukar pengalaman untuk kebaikan masing-masing.