Sunday, September 30, 2007

Tuai dan tuai..

Sudah dua minggu kami berterusan menuai hasil cendawan. Insya Allah dijangka akan bertambah lagi kerana ada lagi yang sudah matang dan boleh dituai. Memang seronok apabila melihat hasil tuaian dari penat lelah buat beg cendawan dengan keringat sendiri..


antara tuaian kali ke dua

Petang semalam, kami telah memetik cendawan paling besar pernah dihasilkan di rumah cendawan kami setakat ini..sebesar dua tapak tangan ..he he..


cendawan sebesar dua tapak tangan

Ianya tak dijual..sebaliknya bersama hasil tuaian lain turut dibawa balik ke Ipoh. Dan malam tadi sudah digoreng buat cendawan goreng..slurp kenyang :-)


Cendawan goreng tepung

Mungkin ada yang ingin mengetahui resepi cendawan goreng tepung..saya pernah postkan resepinya tak lama dulu..boleh klik di sini jika berminat.

Sunday, September 23, 2007

Mula menuai dan menjual..

Syukur setakat ni jualan cendawan memberangsangkan. Jualan di pejabat pagi2 lagi dah habis. Untuk seminggu pertama hasil tuaian lebih kurang sekilo sehari..tak tentu, ada hari lebih, ada hari kurang. Jadilah untuk permulaan sementara menunggu hasil yang lebih tinggi dimasa akan datang. Untuk hasil yang sedikit ini, jualan di pejabat saya dan isteri sudah mencukupi itu pun ada beberapa kali terpaksa ditolak atau dapat disediakan pada hari kemudiannya lantaran permintaan yang tinggi dari rakan2 sepejabat. Ada juga pihak yang menghubungi untuk mendapat bekalan cendawan yang banyak dan konsisten, tapi kami terpaksa tolak buat masa sekarang kerana tidak dapat memenuhi permintaan berkenaan.

Sekarang ni pula semenjak mengupah pekerja, banyak beg dapat disediakan dan dikukus, tetapi banyak pula beg2 yang menunggu dalam bilik suntik untuk disuntik. Semalam saja sampai ke luar bilik suntikan. Setakat ni tak berani bagi budak2 tu buat suntikan..risiko besar. Lagi pun mereka bukan setakat buat beg, tapi kena kukus, hantar beg ke bilik suntik, susun balik dalam rumah cendawan, petik hasil, lembapkan rumah cendawan..pendek kata semua aspek kecuali suntik..tapi suatu masa nanti kena jugalah..kalau tidak tak terbuat juga..tambah pula masing2 bekerja pula tu.



Beg yang belum disuntik. Hujung minggu ni partner akan buat suntikan pada semua beg.

Bila dah upah budak2 ni, perancangan sumber memang pentinglah supaya kerja tak sangkut..kena pastikan beg plastik cendawan, dedak dan sebagainya sentiasa ada atau mencukupi. Kalau tidak jadi mcm kami, semalam saja kerana kehabisan dedak, terpaksa beritahu budak2 tu kerja separuh hari. Tak per lah, sementara tu boleh lah suntik beg2 yang berlambak kat bilik suntik tu sampai melimpah ke luar tu.

Di samping itu, pengurusan masa juga penting dalam memastikan kerja melembapkan rumah cendawan, memetik hasil, membersih dan menutup kembali beg cendawan yang telah dituai hasil dan sebagainya dapat dilakukan dengan baik.

Semalam di kampung, saya dan isteri bertukang tambah lagi satu layer netting; kira double layer lah..sebelum ni satu layer netting 70% cukup terang (ada juga otai2 komen pasal ni bila berjumpa) dan terasa sangat di dalam rumah cendawan bila angin kuat dan ini membawa risiko potensi pencemaran luar untuk masuk. Di samping itu pasang paip air dalam rumah cendawan untuk menyenangkan proses melembapkan rumah cendawan. Semua ni perlu dilakukan kerana proses tuaian sudah pun bermula dan ini penting untuk menghasilkan pulangan yang baik dan berkualiti.

Sunday, September 16, 2007

Dapat juga pekerja akhirnya..

Alhamdulillah, akhirnya kami dapat mencari pekerja tempatan. Selama ini tak banyak progress kerana kalau harapkan buat beg cendawan sendirian pada hujung minggu bukanlah banyak mana pun. Ok jugalah hari pertama banyak beg yang dapat dibuat. Di samping itu kami ajar sekali buat kukusan, memetik cendawan dan kerja membersih rumah cendawan. Objektif utama kami adalah untuk menyiapkan beg cendawan dalam tempoh masa tertentu supaya kos dapat dioptimumkan. Bulan Ramadan ni, tak bolehlah rigid sangat masa bekerja, jadi kami lebih fleksibel sikit kalau depa balik awal.


Dua pekerja sedang membuat kerja beg. Oklah depa ni cepat pick up :)

Rezeki Ramadan, dengan jumlah yang ada kami sudah boleh menuai dan menjual cendawan biarpun tak banyak. Itu pun isteri bawa jual di pejabat.


Antara packing yang sedia untuk dijual

Sempena kedatangan Ramadan ni, kami ambil kesempatan mengucapkan kepada pengunjung muslim blog ini; Selamat Berpuasa di bulan Ramadan Al Mubarak, Bulan Penuh Keberkatan dan Keampunan.

Sunday, September 2, 2007

Lawatan ke ladang cendawan Fatisha

Dalam perjalanan balik rumah di Ipoh, hari ini saya dan isteri sempat singgah ke ladang cendawan Fatisha di Sg Ramal Dalam, Kajang, tuan punya blog siswazah-tani.blogspot.com. Seperti Ayne, saya juga pernah melawat ladangnya tidak lama dulu dan masukkan lawatan tersebut dalam blog ini. Memang banyak perkembangan di ladangnya berbanding kali terakhir kami melawat pada awal bulan Jun 2007. Yang mana masa melawat dulu banyak raknya masih kosong tapi kali ni boleh dikatakan hampir semua raknya penuh. Tong pengukus pun bertambah. Cik Fatisha ni bukan setakat cendawan sahaja, cempedak pun dijualnya. Ketika berjumpa, beliau baru balik dari menjual cempedak. Semangat gigihnya memang dikagumi.


Hampir semua rak telah dipenuhi di ladang cendawan Fatisha.

Sesungguhnya pertemuan begini samada bersama Ayne (Saudara Faisol) mahupun Fatisha (Saudari Rusila) memang bagus kerana kami dapat bertukar pengetahuan dan pengalaman termasuk masalah serangan penyakit dan cara mengatasinya dalam memajukan projek cendawan masing-masing.


Saturday, September 1, 2007

Lawatan ke Ladang Cendawan Ayne

Sempena cuti Merdeka ini, dapatlah berjalan jauh-jauh sikit. Hari ini saya dan isteri berkesempatan melawat sekali lagi ke ladang cendawan Ayne, seorang pengusaha cendawan di Bakri, Muar, Johor. Sesiapa yang selalu layari forum pertanian khususnya berkaitan topik cendawan di bicarajutawan.com pasti akan kenal beliau (nama sebenarnya Saudara Faisol). Saya pernah melawat ladangnya tidak lama dulu dan masukkan lawatan tersebut dalam blog ini. Saya tertarik dengan idea kreatifnya yang telah pun dizahirkan secara fizikal. Kemahirannya dalam kerja welding adalah merupakan kelebihan padanya. Alat kukus bergerak atau mobile steamer ini merupakan satu ciptaannya yang sungguh unik dan praktikal. Ini kerana selepas dikukus, proses memindahkan beg-beg cendawan untuk proses berikutnya dapat disingkatkan dengan ketara. Sesiapa yang usahakan cendawan pasti boleh bayangkan masalah penghantaran dari tempat penyediaan beg ke tempat kukus kemudian ke bilik suntik secara manual. Kukus bergerak ini berkapasiti memuatkan kira-kira 400beg.


Sebahagian alat kukus bergerak ciptaan terbaru Ayne, paip dibawah akan disambungkan ke tong drum boiler - semasa saya datang saudara Faisol sedang menguji ciptaan terbarunya. Semoga sukses nanti. Inovasi baru yang boleh diaplikasikan.

Progres di ladang cendawan Ayne.