Sunday, November 25, 2007

Penyakit dan EM..

Dalam beberapa post lepas ada diceritakan penyakit-penyakit yang dialami di ladang cendawan kami. Melalui pemerhatian pada beg cendawan dalam proses peraman, terdapat jenis penyakit-penyakit tertentu yang menyerang semasa peringkat permulaan peraman (dalam beberapa minggu pertama lepas suntikan), dan semasa sedang diperam sehingga matang. Tapi disamping itu bukan saja serangan penyakit semasa peraman berlaku, serangan binatang/serangga juga berlaku secara fizikal. Dalam tempoh dua-tiga minggu kebelakangan ini, sebahagian kapas didalam penutup plastic pada beg-beg yang sedang diperam turut ‘ditarik keluar’. Peliknya saya tak pernah berjumpa binatang/serangga ‘misteri’ tersebut..kalau jumpa memang siap depa. Apa yang saya perasan adalah bila saya masuk ke rumah cendawan, didapati kapas-kapas bertaburan di lantai.


Kapas pada beg-beg diperam terjurai keluar.

Wujud juga kerisauan, jika serangga tersebut bersarang dan bertelur didalamnya dan boleh mendatangkan penyakit pada beg cendawan tersebut. Saya tak pasti tentang ini. Jika sesiapa yang tahu harap kemukakan pandangan/cadangan.

Dalam hal lain pula, tidak lama dulu saya ada ceritakan tentang sebahagian beg cendawan yang diserang penyakit yang menyebabkan beg cendawan diserang dan bertukar hitam. Walaubagaimanapun saya perasan ada antaranya baru-baru ini nampak dalam proses pulih kembali dengan sebahagian besar tompokan hitam secara perlahan-lahan bertukar menjadi putih. Pemerhatian akan terus dilakukan untuk melihat kesan pemulihannya.



Beg dihujung sebelah kanan sekali-kelihatan misilium ‘menawan’ kembali kawasan yang dahulunya dipenuhi tompokan hitam.


Kebelakangan ini sibuk diperkatakan tentang aplikasi Effective Microorganism (EM) dalam sektor pertanian, cendawan juga tidak terkecuali. Saya juga berminat untuk mencubanya di ladang cendawan. Ada pengusaha cendawan yang sudah mula menggunakannya, ada yang kata ok memberi kesan positif, ada yang kata sebaliknya. Saya pun sudah mendapat maklumat tentang EM. Sebenarnya saya pernah mendengarnya secara tak langsung hampir setahun dulu ketika menghadiri kursus cendawan tapi tak banyak maklumat tentangnya ketika itu. Jadi seeloknya biar saya cuba dan lihat sendiri kesannya.

Saturday, November 17, 2007

Pasaran baru

Alhamdulillah pada hari Khamis lepas 15 November 07, kami berjaya mendapatkan pasaran bagi hasil tuaian cendawan kami di dua kedai pasar basah. Memang kami merancang untuk mendapatkan pasaran terdekat berhampiran rumah kami di Ulu Kinta, Ipoh supaya urusan penghantaran mudah dan ekonomik dari segi kos penghantaran. Kedudukannya adalah amat strategik dan menjadi tumpuan utama penduduk taman sekitar. Jadi memang tak hairan apabila kami mendekati tuan punya kedai, dengan senangnya dia menerima deal kami setelah berbincang dan bersetuju dengan harga tolak yang diputuskan. Pada mulanya kami membawa sedikit bungkusan cendawan sebagai sample, tapi tak sangka terus dibelinya. Dan pada pagi Sabtu ini 17 November 2007, telah bermulanya penghantaran hasil cendawan kami ke kedai tersebut seperti dipersetujui.

Isteri saya dalam kesibukannya bekerja, banyak memainkan peranan dalam mendapatkan pasaran baru ini, maklumlah saya nie bukan jenis yang pandai bercakap apatah lagi dalam mencari pasaran dan membuat deal dengan baik. Perkara ini pada mulanya terasa berat hendak dilakukan, tapi akhirnya saya sedar jika perasaan egoistik/malu yang tak bertempat ini ada, kita tak akan maju ke mana dalam perusahaan kita. Bukan saja dalam perusahaan cendawan ini, mana-mana perusahaan pun sama. Terima kasih isteriku, saya kena belajar darinya lagi pasal ni..pandai bercakap dalam melakukan pemasaran dan membuat deal dengan baik :-)

Dengan ini senanglah hasil tuaian cendawan kami dipasarkan. Ini memandangkan pengeluaran hasil cendawan makin bertambah selaras dengan beg-beg cendawan yang mula matang. Jadi wujudnya keperluan mencari pasaran lebih luas lagi. Signifikannya, pada hari ini, hari pertama kami mula menghantar hasil ke kedai pasar basah; ia juga menandakan genap dua bulan kami menjual hasil cendawan semenjak menceburi perusahaan penanaman cendawan tiram kelabu. Selepas ini penjualan di pejabat akan dijadikan jualan sekundari selepas jualan primari di kedai-kedai ini demi memastikan penghantaran hasil secara konsisten.

Thursday, November 8, 2007

Penyakit oh penyakit..

Apa nak citer lagi yer..okay lah hari ini hari cuti umum cuti Deepavali, jadi sempatlah balik kampung sat dari Ipoh turun ke Air Tawar..dah lama tak buat pemeriksaan terperinci apa yang berlaku dalam rumah cendawan dan kemas2kan mana yang perlu..al maklumlah asyik pi tempat tuaian hasil cendawan saja, tak de masa nak check betul2 tempat peraman terutamanya. Balik kerja pun lewat petang, sekadar sempat buka dan tutup beg cendawan. Nasib baik orang tua dan adik beradik banyak membantu memetik hasil (biasanya dilakukan dua kali sehari pagi dan petang) dan melembapkan rumah cendawan.

Jadi bersama isteri, kami habiskan masa mencuci mulut beg cendawan sebelum ditutup, kutip penutup plastik yang berselerak untuk dibasuh. Cuci lantai dan tempatkan beg2 matang di bahagian tuaian.

Tapi yang paling tak syok tu, hari ni sekitar 80-90beg terpaksa diasing..atau mungkin lebih tepat dibuang..ada beberapa sebab. Pertama sekitar 20-25 beg tak disuntik, mungkin dalam sibuk2 buat suntikan ada yang tercicir. Ini bukan kali pertama..sebelum ini pun pernah berlaku. Di celah2 peraman tu baru perasan awat maisilium tak tumbuh2, rupa2nya bila dibuka penutup tiada benih cendawan.

Kedua pula, lebih kurang 1/3 dari beg tersebut maisilium rosak akibat adanya ulat-ulat di di dalamnya. Jumlah yang sama pula berlaku pada beg cendawan yang mana diperhatikan pada awalnya pertumbuhan maisilium tumbuh dengan baik tapi malangnya seolah dimakan dengan species yang tidak dikenali..benda baru kami alami, jadi seperti biasa bantuan otai2 akan diminta untuk mengenal pasti apakah species x ni.


Maisilium cendawan rosak dimakan. Seolah2 api yang membakar kertas.

Baki sebahagian kecil pula adalah terdapat beg cendawan kebanyakannya pada beg-beg yang tercicir dari disuntik mengalami cendawan species yang tidak diketahui apa namanya..tapi tumbuh menjalar dalam beg cendawan. Saya pernah lihat ni di ladang2 member yang lain sebelum ini. jadi tak berapa janggal melihatnya. Satu hal yang positif, kali ini serangan kulat jingga sudah tiada lagi..itupun hanya satu beg saja yang nampak kulat jingga di belakang beg dan beg tersebut akan diasingkan.


Cendawan putih menjalar dalam beg cendawan.

Memang sedih dan menyakitkan hati juga bila melihat beg2 cendawan ini semua dilonggok untuk dibuang..tapi ianya dijadikan panduan supaya tindakan2 perlu diambil untuk mengurangkan kerosakan seumpama ni berlaku di masa depan.

Setelah dua jam lebih di kampung, maka kami pun bertolak balik rumah di Ipoh. Bawak sekali hasil tuaian, terdapat permintaan tinggi dari pejabat saya terutamanya member2 cina yang suka makan cendawan tiram kelabu ni, ada seorang mamat tu order 2kg. Sudah banyak kali dia minta. Nasib dia baik kali ini. Esok makan besarlah dia cendawan ipoh mali punya ;-)