Saturday, November 17, 2007

Pasaran baru

Alhamdulillah pada hari Khamis lepas 15 November 07, kami berjaya mendapatkan pasaran bagi hasil tuaian cendawan kami di dua kedai pasar basah. Memang kami merancang untuk mendapatkan pasaran terdekat berhampiran rumah kami di Ulu Kinta, Ipoh supaya urusan penghantaran mudah dan ekonomik dari segi kos penghantaran. Kedudukannya adalah amat strategik dan menjadi tumpuan utama penduduk taman sekitar. Jadi memang tak hairan apabila kami mendekati tuan punya kedai, dengan senangnya dia menerima deal kami setelah berbincang dan bersetuju dengan harga tolak yang diputuskan. Pada mulanya kami membawa sedikit bungkusan cendawan sebagai sample, tapi tak sangka terus dibelinya. Dan pada pagi Sabtu ini 17 November 2007, telah bermulanya penghantaran hasil cendawan kami ke kedai tersebut seperti dipersetujui.

Isteri saya dalam kesibukannya bekerja, banyak memainkan peranan dalam mendapatkan pasaran baru ini, maklumlah saya nie bukan jenis yang pandai bercakap apatah lagi dalam mencari pasaran dan membuat deal dengan baik. Perkara ini pada mulanya terasa berat hendak dilakukan, tapi akhirnya saya sedar jika perasaan egoistik/malu yang tak bertempat ini ada, kita tak akan maju ke mana dalam perusahaan kita. Bukan saja dalam perusahaan cendawan ini, mana-mana perusahaan pun sama. Terima kasih isteriku, saya kena belajar darinya lagi pasal ni..pandai bercakap dalam melakukan pemasaran dan membuat deal dengan baik :-)

Dengan ini senanglah hasil tuaian cendawan kami dipasarkan. Ini memandangkan pengeluaran hasil cendawan makin bertambah selaras dengan beg-beg cendawan yang mula matang. Jadi wujudnya keperluan mencari pasaran lebih luas lagi. Signifikannya, pada hari ini, hari pertama kami mula menghantar hasil ke kedai pasar basah; ia juga menandakan genap dua bulan kami menjual hasil cendawan semenjak menceburi perusahaan penanaman cendawan tiram kelabu. Selepas ini penjualan di pejabat akan dijadikan jualan sekundari selepas jualan primari di kedai-kedai ini demi memastikan penghantaran hasil secara konsisten.