Sunday, November 25, 2007

Penyakit dan EM..

Dalam beberapa post lepas ada diceritakan penyakit-penyakit yang dialami di ladang cendawan kami. Melalui pemerhatian pada beg cendawan dalam proses peraman, terdapat jenis penyakit-penyakit tertentu yang menyerang semasa peringkat permulaan peraman (dalam beberapa minggu pertama lepas suntikan), dan semasa sedang diperam sehingga matang. Tapi disamping itu bukan saja serangan penyakit semasa peraman berlaku, serangan binatang/serangga juga berlaku secara fizikal. Dalam tempoh dua-tiga minggu kebelakangan ini, sebahagian kapas didalam penutup plastic pada beg-beg yang sedang diperam turut ‘ditarik keluar’. Peliknya saya tak pernah berjumpa binatang/serangga ‘misteri’ tersebut..kalau jumpa memang siap depa. Apa yang saya perasan adalah bila saya masuk ke rumah cendawan, didapati kapas-kapas bertaburan di lantai.


Kapas pada beg-beg diperam terjurai keluar.

Wujud juga kerisauan, jika serangga tersebut bersarang dan bertelur didalamnya dan boleh mendatangkan penyakit pada beg cendawan tersebut. Saya tak pasti tentang ini. Jika sesiapa yang tahu harap kemukakan pandangan/cadangan.

Dalam hal lain pula, tidak lama dulu saya ada ceritakan tentang sebahagian beg cendawan yang diserang penyakit yang menyebabkan beg cendawan diserang dan bertukar hitam. Walaubagaimanapun saya perasan ada antaranya baru-baru ini nampak dalam proses pulih kembali dengan sebahagian besar tompokan hitam secara perlahan-lahan bertukar menjadi putih. Pemerhatian akan terus dilakukan untuk melihat kesan pemulihannya.



Beg dihujung sebelah kanan sekali-kelihatan misilium ‘menawan’ kembali kawasan yang dahulunya dipenuhi tompokan hitam.


Kebelakangan ini sibuk diperkatakan tentang aplikasi Effective Microorganism (EM) dalam sektor pertanian, cendawan juga tidak terkecuali. Saya juga berminat untuk mencubanya di ladang cendawan. Ada pengusaha cendawan yang sudah mula menggunakannya, ada yang kata ok memberi kesan positif, ada yang kata sebaliknya. Saya pun sudah mendapat maklumat tentang EM. Sebenarnya saya pernah mendengarnya secara tak langsung hampir setahun dulu ketika menghadiri kursus cendawan tapi tak banyak maklumat tentangnya ketika itu. Jadi seeloknya biar saya cuba dan lihat sendiri kesannya.