Tuesday, December 25, 2007

Balik dari pantai timur

Lama saya tak kemaskinikan blog ini. Ini kerana dua minggu kebelakangan ini saya agak sibuk dengan perkahwinan adik perempuan saya. Dalam tempoh itu juga saya tak jalankan bisnes cendawan. Penuaian hasil diberhentikan buat sementara waktu.

Sehari selepas Hari Raya Aidil Adha sehingga Ahad 23 Disember 07 baru-baru ini saya berada di pantai timur untuk ke rumah pengantin lelaki di Jertih Terengganu. Sepanjang tempoh itu, kami tinggal di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan. Pagi Ahad tu, sebelum bertolak balik ke Ipoh Perak, saya sempat berjalan-jalan di pasar Siti Khadijah di Kota Bharu. Yang menariknya, boleh dikatakan hampir kebanyakkan peniaganya adalah kaum wanita.


Kaum wanita berniaga

Saya sempat berjalan-jalan di bahagian jualan sayur-sayuran, sempat juga melihat cendawan. Di sana cendawan tak kelihatan pula dijual dalam bungkusan seperti lazimnya di pantai barat. Ianya dijual secara longgok dan pembeli yang akan memilihnya. Harga jual di sini adalah RM6-7/kg. Ehmm, harga yang rendah secara relatifnya. Menurut peniaga di situ, sumber cendawan tiram kelabu bukan saja datang dari bekalan tempatan, seperti sayur-sayuran lain, cendawan dari Thailand juga membanjiri pasaran tempatan. Itu yang mempengaruhi harga di sini.


Cendawan tiram kelabu dijual longgok dengan harga RM6 atau RM7 sekilo.

Berhubung kursus cendawan tiram kelabu di Bangi yang dijalankan oleh Fatisha Agro Farm, saya menerima pertanyaan mengenainya. Ada yang ingat kursus ini turut dijalankan oleh syarikat kami Mahasz Enterprise..anggapan itu berlaku mungkin kerana iklan tersebut dipaparkan di blog ini. Sebenarnya tidak. Saya hanya tolong mengiklankan sahaja. Sesiapa yang berminat boleh terus menghubungi Fatisha di 012-6221149

Thursday, December 20, 2007

Kursus Cendawan Tiram Kelabu di Bangi

Sesiapa yang berminat menghadiri kursus di atas terutama kawasan berhampiran Bangi bolehlah menghadiri kursus berikut (atau ke siswazah-tani.blogspot.com untuk maklumat lanjut):

Saturday, December 1, 2007

Tuai, bungkus dan jual

Semalam merupakan tuaian yang terbanyak pernah dikutip setakat ini. Adalah dalam kira-kira 8 kg. Kutipan dalam satu hari saja. Dalam perjalanan balik rumah ke Ipoh saya singgah di kampung mengambil hasil tersebut.


Hasil tuaian yang dipetik hari semalam Jumaat.

Sampai sahaja di rumah, selepas rehat dan makan malam, kami buat kerja pembungkusan. Buat kerja tu sampai tak larat nak teruskan dek letih kerja siang harinya dan mata mula ngantuk. Tapi seronok buat kerja ni sambil sembang-sembang. Tak habis semuanya dibungkuskan. Itu pun ada sebakul lebih tak habis lagi. Sambung kemudian nantilah.


Siap dibungkus

Pagi tadi lepas solat subuh, saya hantar bungkusan cendawan ke sebuah pasar mini berhampiran rumah. Sempat juga ambil gambar bungkusan cendawan kami disusun di rak sayur-sayuran. Rasa kepuasan melihat hasil sendiri dipasarkan dan dijual. Syukur Alhamdulillah. Semoga langkah berikutnya dipermudahkanNya. Perjalanan masih jauh lagi..


Antara bungkusan cendawan di rak