Tuesday, December 25, 2007

Balik dari pantai timur

Lama saya tak kemaskinikan blog ini. Ini kerana dua minggu kebelakangan ini saya agak sibuk dengan perkahwinan adik perempuan saya. Dalam tempoh itu juga saya tak jalankan bisnes cendawan. Penuaian hasil diberhentikan buat sementara waktu.

Sehari selepas Hari Raya Aidil Adha sehingga Ahad 23 Disember 07 baru-baru ini saya berada di pantai timur untuk ke rumah pengantin lelaki di Jertih Terengganu. Sepanjang tempoh itu, kami tinggal di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan. Pagi Ahad tu, sebelum bertolak balik ke Ipoh Perak, saya sempat berjalan-jalan di pasar Siti Khadijah di Kota Bharu. Yang menariknya, boleh dikatakan hampir kebanyakkan peniaganya adalah kaum wanita.


Kaum wanita berniaga

Saya sempat berjalan-jalan di bahagian jualan sayur-sayuran, sempat juga melihat cendawan. Di sana cendawan tak kelihatan pula dijual dalam bungkusan seperti lazimnya di pantai barat. Ianya dijual secara longgok dan pembeli yang akan memilihnya. Harga jual di sini adalah RM6-7/kg. Ehmm, harga yang rendah secara relatifnya. Menurut peniaga di situ, sumber cendawan tiram kelabu bukan saja datang dari bekalan tempatan, seperti sayur-sayuran lain, cendawan dari Thailand juga membanjiri pasaran tempatan. Itu yang mempengaruhi harga di sini.


Cendawan tiram kelabu dijual longgok dengan harga RM6 atau RM7 sekilo.

Berhubung kursus cendawan tiram kelabu di Bangi yang dijalankan oleh Fatisha Agro Farm, saya menerima pertanyaan mengenainya. Ada yang ingat kursus ini turut dijalankan oleh syarikat kami Mahasz Enterprise..anggapan itu berlaku mungkin kerana iklan tersebut dipaparkan di blog ini. Sebenarnya tidak. Saya hanya tolong mengiklankan sahaja. Sesiapa yang berminat boleh terus menghubungi Fatisha di 012-6221149