Tuesday, December 30, 2008

Melawat ladang cendawan Frankie, C&C Mushroom dan Ayne di Muar

Semalam saya dan isteri melawat ke ladang cendawan saudara Frankie Chew, seorang pengusaha cendawan di Grisek, Muar. Rupa2nya muda orangnya. Beliau mengusahakan projek cendawan tiram kelabu secara contract farming dari pihak C & C Mushroom, salah satu pengusaha cendawan terbesar tanahair.


Projek cendawan Frankie nie mempunyai tiga rumah cendawan yang setiap satunya boleh memuatkan kira2 50,000 bongkah cendawan. Rumah cendawannya menggunakan dinding nipah yang boleh dibuka sedikit untuk membenarkan aliran pengudaraan yang baik bagi proses penuaian cendawan. Beliau juga menghasilkan sendiri benih cendawan. Dalam perbincangan bersama dengannya banyak juga perkara baru yang diperolehi. Terima kasih diucapkan kepadanya atas kesudiannya meluangkan masa bersama kami.


suasana rumah cendawan Frankie



taburan serbuk kapur di rak cendawan dan lantai bagi bongkah2 yang pertama kali dituai bagi kawalan serangan penyakit.

Selepas itu kami juga berkesempatan melawat C&C Mushroom yang juga terletak berdekatan. Ianya dibuka pada orang ramai walaupun semalam adalah cuti umum Awal Muharam. Pihak C&C Mushroom menyediakan ruang pameran khas C&C Agro-Tourism Centre untuk memudahkan pengunjung membeli pelbagai produk berasaskan cendawan yang dijual oleh pihak C&C.


antara produk2 berasaskan cendawan yang dijual

Akhir sekali kami berjumpa dengan saudara Faisol Ayne blogger pengusaha cendawan Ayne di Bakri, Muar untuk membeli wood vinegar untuk kami membuat percubaan sendiri di ladang cendawan kami. Maklumat lanjut apa itu wood vinegar boleh dilihat diblognya http://cukayu.blogspot.com/Lawatan kali ini menampakkan pula rumah suntik khas yang siap beroperasi seperti yang boleh dilihat di blog cendawannya. Saya suka berjumpa saudara Faisol nie bila berkesempatan kerana beliau ni rajin buat eksperimen dan sambil berbincang beliau tak lokek dengan pengalaman dan ilmunya tentang cendawan nie.

Dan pada hari ini pula saya dan isteri berkesempatan melawat projek cacing ZAWS Agrotech di Kg Tehel, Jasin yang boleh dibaca di blog kami mycacingkompos.blogspot.com



Thursday, December 25, 2008

Jualan bungkusan vakum cendawan tiram kelabu

Petang semalam semasa membeli sedikit barang di sebuah pasaraya besar berhampiran rumah di Ipoh, saya lalu di rak jualan bungkusan jualan cendawan tiram kelabu. Menariknya bungkusan jualan cendawan di situ dibuat dalam keadaan vakum atau kedap udara. Sememangnya diketahui, kelebihan vakum ini ialah cendawan yang di dalamnya lebih tahan lama kerana tiada/kurang oksigen yang menyebabkan proses pereputan semulajadi perlahan.

Inilah pertama kali saya melihat kaedah vakum digunakan dalam bungkusan cendawan tiram kelabu di sini. Mungkin di negeri2 lain ianya sudah diguna meluas. Bungkusan ini dibuat dalam 200 gram, memang sesuai pun dibuat dalam 200grm kerana cendawan ini bersaiz besar2. cumanya saya musykil sikit kerana pada tanda harga tu ditulisnya gray oyster mushroom tapi secara visualnya ianya lebih pada warna putih macam jenis cendawan tiram putih..tak taulah species dia memang macam tu ke atau ada silap masa letak tanda harga tu.


bungkusan kedap udara cendawan tiram

Sunday, December 21, 2008

Kenapa misilium cendawan hilang..

Saya menerima pertanyaan dari saudara Yusz blogger cendawanladong.blogspot.com berhubung kenapa misilium hilang..sebenar saya juga tidak terkecuali dan pernah postingkan masalah ini tidak lama dulu.


Jadi petang sabtu semalam saya berjumpa dengan seorang pengusaha cendawan yang telah berbelas2 tahun mengusahakan cendawan tiram kelabu dan menunjukkan kepadanya contoh bongkah2 berkenaan. Menurutnya ini berlaku akibat tidak cukup kukus dan terlebih air. Baru saya perasan terdapat air berlebihan bila bongkah tersebut ditekan. Ini adalah punca2 menyebabkan terdapatnya sesetengah bakteria yang tidak mati sepenuhnya semasa dikukus. Bakteria ini akan naik balik kemudian dan memakan misilium cendawan yang berkembang ketika itu. Kawasan misilium yang dimakan akan bertukar menjadi hitam. Beliau turut menambah bau masam adalah salah satu tanda tidak cukup kukus.


pertumbuhan misilium bongkah ini cantik hampir separuh bongkah pada mulanya sebelum terkena serangan penyakit misilium hilang

Pengalaman saya juga menunjukkan selain maklumat baru di atas iaitu dimakan bakteria, terdapat juga ulat yang wujud yang turut memakan misilium. Saya juga pernah postingkan hal ini dahulu. Jadi apa yang dapat disimpulkan adalah pastikan bancuhan semasa membuat bongkah cendawan betul..tidak terlebih mahupun terkurang air dan tempoh kukus yang sepatutnya.

Sunday, December 14, 2008

Cendawan Tumis Udang Kering

Resepi ini saya dapati dari majalah Mingguan Wanita. Setelah mencubanya memang sedap dimakan terutama masa masih panas lagi.


Bahan-bahan:
-5 tangkai cili api, 1 sudu udang kering dan 2 ulas bawang putih; ketiga-tiga ini ditumbuk,
-1 mangkuk cendawan

Cara Membuat:
1. tumiskan bahan yang ditumbuk sehingga naik bau.
2. masukkan garam, gula, bahan perasa dan sedikit air dan kacau.
3. setelah itu masukkan cendawan di dalam tumisan. setelah cendawan masak, angkat dan hidangkan.



bahan-bahan ditumis sehingga naik bau



masukkan cendawan tiram kelabu


sedia dimakan

Wednesday, December 10, 2008

Kunjungan dari Pembekal Life Light

Hari ini ladang cendawan tiram kelabu kami menerima kunjungan dari Pn Tan Keat Lan, business development manager dari GreenBiz Trading & Services. Beliau memperkenalkan produk Life Light yang menurutnya baik untuk pertumbuhan cendawan.

Menurutnya dengan penggunaan Life Light ianya mengurangkan risiko serangan penyakit dan hasil cendawan juga bertambah. Ianya juga menambahkan rasa yang baik pada cendawan. Produk yang dibuat dari sejenis kayu ini berasal dari negara Jepun dan syarikatnya telah menjual produk ini di Malaysia kira2 sejak dua tahun lalu. Produk ini telah lama digunakan pengusaha2 cendawan di Jepun dan juga dibeberapa negara barat seperti United Kingdom dan Switzerland. Dan kini beberapa pengusaha2 besar cendawan tiram kelabu di negara ini menurutnya turut menggunakan produk ini dan beliau menerima respons positif berhubung penggunaan produk ini.

Sambil melawat projek cendawan kami, Pn Tan juga memberi beberapa maklumat berguna berhubung penjagaan cendawan ini. Produk Life Light ini suatu yang baru bagi kami dan kami sedang menimbangkan kemungkinan untuk mencuba menggunakan produk ini bagi melihat sendiri keberkesanannya. Bagi sesiapa yang telah mencuba produk ini, sudi2lah memberikan komen.



sampel life light dalam plastik kecil tu

Wednesday, December 3, 2008

Projek cendawan tiram kelabu & projek cacing kompos

Sisa bongkah cendawan sememangnya sesuai digunakan bagi ternakan cacing kompos. Sebelum ini kami hanya mendengar dari cakap2 orang saja. Tetapi setelah memulakan sendiri projek ternakan cacing kompos, kami mendapati cacing kompos dan sisa bongkah cendawan serasi. Bahkan sebahagian besar media ternakan cacing kompos untuk projek cacing kompos kami adalah dari sisa bongkah cendawan. Selain itu apa jua sisa baki cendawan yang tak sesuai dimakan atau tak sesuai untuk dijual memang kami humban bagi depa makan. Keserasian dengan sisa bongkah boleh dilihat apabila tidak lama selepas cacing kompos ini dimasukkan ke dalam plot ternakan, cacing2 ini telah mula bertelur kokon. Selain itu kami tidak nampak cacing2 ini keluar dari plot ternakan menunjukkan ianya tiada masalah dengan media yang digunakan. Saiz cacing juga didapati secara amnya berisi dibandingkan masa beli dulu.

Sebahagian pengunjung telah mengetahui blog ini cumanya kami belum umumkan dalam posting blog Mycendawan kewujudan blog projek cacing kompos kami. Jadi jemput2lah melawat blog tersebut untuk mengetahui cerita terkini projek cacing kami di http://mycacingkompos.blogspot.com

Dengan ini, longgokan sisa bongkah cendawan tidaklah lagi menyemakkan mata kerana ianya boleh diusahakan bagi penjanaan sumber pendapatan baru.



sisa bongkah kini dimanfaatkan sepenuhnya

Friday, November 28, 2008

Melawat Perak AgroFest 2008



Petang tadi saya dan isteri berkesempatan melawat Ekspo Hari Peladang, Penternak & Nelayan 2008 Peringkat Negeri Perak atau juga dikenali sebagai Perak Agrofest di Ladang Infoternak, Sungai Siput, Perak.

Ekspo pertanian peringkat negeri Perak ini menyaksikan penyertaan yang besar dari agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta. Ekspo ini boleh dianggap sebagai mini MAHA. Malangnya ketika kami melawat petang tadi, hujan telah membataskan pergerakan kami yang mana kami hanya pergi melawat ke tempat2 yang sempat dilawati sahaja.

Seperti kebiasaannya, saya suka melihat jika ada pameran berkaitan cendawan tiram kelabu. Sememangnya ianya ada dipamerkan iaitu di booth Jabatan Pertanian. Di booth ini, pameran ternakan cacing kompos dan baja kompos turut ada sekali.



Pameran cendawan tiram kelabu di booth Jabatan Pertanian


Penternakan Cacing kompos juga dipamerkan


Manakala diperingkat gerai-gerai pula, berbagai2 jenis jualan dijual..dari peringkat pertanian termasuk jentera pertanian, penternakan, produk asas tani sehinggalah ke nurseri, landscaping, pakaian, kain & tudung, gerai makanan/minuman dan sebagainya.



gerai ternakan ikan keli dalam tangki air


Walaupun dalam keadaan hujan, masih ramai pengunjung melawat di ekspo Perak Agrofest ini . Jadi, bagi sesiapa yang berminat untuk melawat ekspo ini sedang berjalan dan akan berakhir pada Ahad 30 November 08.

Wednesday, November 26, 2008

Terkena Sindrom Cendawan 'Merajuk'

Baru2 ini Lan Chini dalam blognya ada memberitahu cendawannya 'merajuk'..kini MyCendawan pula mengalaminya.

Pihak kami perasan bongkah2 yang sepatutnya dituai hasil minggu ini, sebahagian besarnya tidak menghasilkan cendawan dalam tempoh masa yang sepatutnya. Apa yang kami sedang alami ini sama dengan apa yang Lan Chini alami di dalam postnya itu. Kalau nak dikatakan akibat musim panas menyebabkan hasilnya kurang, sukar untuk diterima kerana kebelakangan ini hujan sentiasa. Ini merisau kami kerana beberapa hari kebelakangan ini hasil yang kurang ini menyebabkan kami terpaksa meminimakan penghantaran bekalan cendawan hanya ke pasaran yang kritikal sahaja. Sebagai contoh, bagi bongkah2 cendawan yang dibuka pada 21 Nov 08, kira-kira 20-30% sahaja mengeluarkan hasil. Jauh berkurangan dari yang sepatutnya.


Kami tidak tahu apa puncanya dan adalah diharapkan sindrom cendawan merajuk ini bersifat sementara. Apa yang boleh dibuat buat masa sekarang adalah hanya menambahkan kekerapan siraman air dalam rumah cendawan. Kalau sesiapa yang tahu sudi2lah memberitahu apa punya dan cara mengatasinya. terima kasih berbanyak.



Sunday, November 23, 2008

Kena kukus semula

Pertama sekali terima kasih kepada semua rakan2 yang memberi komen positif berhubung jualan sendiri yang kami lakukan pada minggu lepas. Ini memberi dorongan untuk berusaha lebih baik lagi. Antara kebaikan menjual sendiri hasil cendawan kita, margin untungnya lebih besar jika dibandingkan hasil jualan ke pihak ketiga/orang tengah. Masalah manipulasi harga & pasaran juga dapat diatasi secara tidak langsung kerana kita sendiri terus jual ke pengguna.

Walaubagaimana pun hujung minggu ini kami tidak mempunyai stok cendawan yang mencukupi untuk melakukan jualan terus tersebut. Ini kerana kami mengawal bilangan bongkah berdasarkan target hasil. Kami memang merancang untuk melakukan lagi jualan sedemikian selepas ini bila berkesempatan.

Jadi kali ini masa dihabiskan di rumah cendawan, membersihkan rumah cendawan. Kerja pembersihan ini perlu dijalankan selalu kerana kalau tidak penyakit akan senang datang dan ini boleh memberi kesan kepada hasil pengeluaran.

Kali ini kami berasa dukacita sedikit kerana terdapat sebahagian bongkah cendawan terpaksa dikukus kembali. Ini melibatkan sebahagian dari bongkah2 cendawan yang kami kukus dan suntik beberapa minggu lepas. Pemeriksaan rutin mendapati bongkah2 tersebut menghadapi masalah simptom-simptom tak cukup kukus. Jika kami biarkan berterusan, melalui pengalaman, memang kemungkinan besar bongkah2 ini tidak berhasil dan langsung tidak boleh diselamatkan lagi. Jadi tiada pilihan kecuali mengukus semula sementara bongkah2 ini boleh diselamatkan lagi.

Kami percaya ini berpunca akibat masalah tak cukup masa pengukusan yang sepatutnya. Mungkin gas tertutup awal, atau mungkin gas habis masa tengah kukus atau ada sebab2 lain. Memandangkan ini baru berlaku, kami kena siasat teliti apa puncanya dan kena pastikan ianya tak berulang lagi kerana kesannya mengakibatnya kerugian masa, wang dan tenaga.


antara bongkah2 cendawan yang terpaksa dikukus kembali. boleh nampak tompokan putih pada bongkah cendawan tanda2 tak cukup kukus

Monday, November 17, 2008

Menjual sendiri cendawan tiram kelabu

Semalam pagi Ahad kami berniaga di tepi jalan di sebuah pasar dekat kampung..jual cendawan ler. Ceritanya bermula begini, sabtu minggu lepas saya dan isteri balik bermalam di kampung. Sampai di sana kami agak terkejut apabila ayah dah terlebih buka bongkah cendawan..udah ler banyak cendawan, mulalah haru biru memikirkan kat mana nak jual. Pasar yang kami biasa hantar tu tak termuat nak sumbat semua. Fikir punya fikir last2 sekali kami ambil keputusan untuk menjual di pasar berdekatan. Kira gamble jugalah apatah lagi ini pertama kali kami menjual. Nak juga cuba rasanya macam mana jadi penjual..selama ini kami hanya menghantar cendawan ke pasar, kedai, restoran atau jual sendiri di pejabat. Jadi pagi Ahad kami bangun awal, pukul 7.15 pagi kami bergerak ke tempat ditujui. Adik2 saya turut berminat ikut sekali.


Ini pengalaman pertama meniaga sendiri di kaki lima, selamba jer jual tepi jalan. mula2nya tergencat jugak mcmana nak start..Tengah dok cari tempat nak jual, tetiba ada satu cina yang meniaga tepi jalan tu perasan bakul cendawan dalam kereta kami..terus dia jumpa kami dan suruh jual kat kat situ. Dia suruh bentangkan di tepi jalan..apa lagi letak suratkhabar lepas tu mula ler kami jeritlah "cendawan..cendawan..murah..rm1 sebungkus.." 1st customer adalah satu kakak tu, dia beli dua paket cendawan.

Jualan cendawan kami melonjak apabila auntie cina yang meniaga sayur dkt gerai kami (gerai ker...lebih kurang lah..bentang suratkhabar jer sebagai alas) datang berkunjung, kemudian dia pulak tolong promote kat cina2 yang lalu lalang situ..


inilah 'gerai' kami :-)

Isteri saya juga banyak main peranan semua ni..dia berani tarik pelanggan dan tak segan..baru saya tahu dia memang ada skill menjual..tambahan pula dia tahu sedikit bahasa cina jadi senang tarik customer cina..malah hampir separuh customer adalah orang2 cina situ.

Kami menjual cendawan dalam ceria. mcm main2 tapi mungkin kerana ceria, senyum plus jerit2 sana sini "cendawan..cendawan" maka ramai orang datang beli.


pembeli mula datang membeli..berbilang kaum melayu, cina, india pun ada

Bila last paket cendawan habis dijual, cina2 yang ada situ semua tepuk tangan tumpang happy.."wa..cendawan sudah abih loo"

Mula meniaga pukul 7.45am, tak sampai sejam kemudian dah habis semua paket cendawan yang dibawa. Habis dua bakul berisi lebih kurang 70 paket cendawan tiram kelabu. Selesai tak pening kepala lagi..balik rumah kepala pun lapang duit pun masuk. Dan kami mendapat pengalaman yang cukup menarik di pagi ahad he he

Tuesday, November 11, 2008

Memanfaatkan Sisa Bongkah Cendawan

Saya pernah membaca satu artikel tentang bongkah cendawan yang tidak mengeluarkan hasil boleh dijadikan baja kompos. Tidak lama dulu saya ada terbaca satu post dari LanChini yang mana beliau membuat eksperimen menanam pokok cili menggunakan sebahagian sisa bongkah cendawan yang dijadikan baja kompos (klik sini). Tertarik dengan idea ini, saya pun turut mencuba tapi menggunakan 100% sisa bongkah sebagai media tanaman. Kali ini saya meletakkan anak pokok tomato pada media yang terdiri sisa bongkah cendawan.


Anak pokok tomato no 1 ditanam pada 24 Oktober 2008


Anak pokok tomato no 2 ditanam pada 24 Oktober 2008


Anak pokok tomato no 1: perkembangan terkini pada 11 November 2008


Anak pokok tomato no 2: perkembangan terkini pada 11 November 2008


Pada mulanya saya agak ragu kerana penggunaan 100% sisa bongkah sebagai media tanaman ini mungkin ada elemen-elemen kulat/bakteria yang merbahaya pada pertumbuhan pokok tanaman ataupun mungkin langsung tidak sesuai sebagai media tanaman. Walaubagaimana pun sehingga kini, setelah tiga minggu, tiada penyakit atau pertumbuhan tergencat dialami oleh anak2 pokok tomato ini bahkan beberapa pucuk baru mula kelihatan. Sebagai perbandingan, saya turut menanam pokok tomato ini pada tanah seperti biasa. Mungkin ini terlalu awal untuk dikomen tapi saya akan memerhatikan progres pertumbuhan anak2 pokok tomato di kedua-dua media tanaman yang berbeza ini sehingga ke peringkat selanjutnya.

Selama ini sisa bongkah cendawan yang tidak produktif atau berpenyakit dibuang begitu sahaja..di satu peringkat ianya memang menyemakkan mata melihat timbunan bongkah2 yang dibuang. Mungkinkah sisa bongkah ini boleh dijadikan sebagai hasil tambah pada pengusaha cendawan sebagaimana kilang kayu menjadikan habuk kayu yang dibuang sebagai satu lagi hasil pendapatan tambahan?atau sebagaimana para penternak turut memanfaatkan najis binatang ternakan? Mungkin juga kajian R&D perlu dilakukan bagi memanfaatkan potensi sisa bongkah ini.

Saturday, November 8, 2008

Perihal Penimbang

Saya ada beberapa kali menerima komen bila sembang2 dgn penjual2 sayur apabila mereka memberitahu paket cendawan tiram kelabu yang diterima tidak mencapai berat yang sepatutnya. Bagi saya banyak sebabnya, antaranya mungkin akibat penggunaan penimbang yang tidak tepat.

Bercakap pasal penimbang ni, saya juga mempunyai pengalaman yang menarik berhubung alat timbang ni. Pada peringkat permulaan kami pernah menggunakan penimbang kuih yang murah tu. Walaubagaimana pun ini telah mendatangkan masalah kemudiannya apabila pernah beberapa kali penjual sayur memeriksa yang mana berat sebenar tidak sama dengan apa yang kami timbang. Rupa2nya baru kami tahu penimbang kuih ini tak tepat di mana ralatnya boleh mencapai plus minus 10-20grm.


penimbang kuih yang pernah kami gunakan..kini terperap dalam stor..paling tidak digunakan pada waktu raya bila buat kuih raya


Jadi untuk menggelakkan masalah ini berulang lagi, kami keluar duit lebih sikit membeli penimbang yang lebih baik dan tepat. Ini penting supaya kepercayaan yang diberi kepada kami untuk membekal cendawan tiram kelabu tidak terhakis.


Penimbang yang kami pakai sekarang ini

Disamping itu dari masa ke semasa perlu ada pemeriksaan berkala bagi memastikan ketepatan penimbang ini. Antara cara mudah yang saya gunakan untuk memeriksa ketepatan penimbang samada ok atau tidak, saya gunakan pemberat yang sudah diketahui beratnya. Dari situ kita boleh adjust bila perlu.

Oh yer, hari ini ada diadakan Ekspo Hari Ladang anjuran Jabatan Pertanian Daerah Perak Tengah di Institut Latihan Pertanian Kompleks Pertanian, Titi Gantung Bota, memang hajat dihati melawat pesta hari ladang di situ pada hari ini..malangnya akibat masalah tertentu, saya tidak dapat datang melawat. Walaubagaimana pun kira berbangga jugalah kerana mendapat tahu rakan blogger Tunas Alam Agrotech antara yang terlibat dalam pameran pertanian itu. Tahniah, ini menjadi inspirasi pada rakan blogger cendawan lain2nya untuk berjaya.

Sunday, November 2, 2008

Penggunaan kapur plaster sebagai ganti kapur pertanian

Tidak lama dulu lebih kurang dalam pertengahan bulan Sept 08, ketika sedang buat site inspection di projek tempat saya bertugas, pekerja yang saya upah buat bongkah cendawan hantar sms mengatakan kapur sudah habis; kapur pertanian yang digunakan sebagai bancuhan untuk pembuatan bongkah cendawan. Sedang saya dok fikir bagaimana saya boleh cari kapur pertanian dalam masa yang singkat (kerana saya pun tak pernah beli kapur pertanian sebelum ini, itu pun saya dapat dari rakan pengusaha cendawan) tetiba saya terlihat pack kapur plaster (plaster lime).

Kebetulan di projek tempat saya ini, kerja plaster dinding dalam progres. Setengah orang panggil kapur bangunan atau kapur binaan atau kapur rumah; kapur biasa yang digunakan untuk buat kerja plaster dinding bangunan/rumah.



kapur plaster


kapur plaster dalam bentuk cecair

Pada mulanya saya tak pasti keberkesanan sebenar dalam pembuatan media cendawan jika menggunakan kapur plaster. Jadi saya pun contact ayne nun di muar johor, katanya kapur jenis ini boleh juga digunakan. Jadi saya pun gunakan untuk percubaan, kini setelah sebulan setengah berlalu saya nampak pertumbuhan misilium cendawan tiram kelabu dalam bongkah berjalan dengan baik dan hampir matang. Jadi nampaknya kapur plaster ini memang boleh digunakan sebagai penganti alternatif kepada kapur pertanian.

Secara fizikal kapur pertanian dan kapur plaster ini nampak sama cumanya kapur plaster ini dalam bentuk cecair manakala kapur pertanian dalam bentuk serbuk. Bagi saya lebih mudah guna kapur plaster kerana ia mudah larut dalam air sebelum disiram dalam bancuhan media.

Kapur plaster ini senang didapati di kedai2 hardware.

Wednesday, October 29, 2008

Jualan Bongkah Matang

Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada En Abdullah dari Ipoh dan En Nasir (maaf lupa tanya nama penuh) dari Lekir, Perak yang datang pada hari ini membeli 1000 bongkah cendawan tiram kelabu matang sedia dituai. Projek cendawan tiram kelabu mereka bertempat di Lekir. En Nasir telah datang beberapa hari awal sebelum itu bagi melihat sendiri sebelum membuat keputusan untuk membeli 1000bongkah tersebut.


sebahagian dari 1000bongkah cendawan matang yang disediakan pagi tadi


Kami berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan ini. Harapan kami dari MyCendawan, semoga projek cendawan mereka sukses dan berkembang maju.

Wednesday, October 22, 2008

Bagaimana hendak ke projek MyCendawan



Alhamdulillah, akhirnya papantanda (signboard) untuk projek MyCendawan telah berjaya disiapkan. Signboard ini telah ditempah sejak bulan puasa tapi memandangkan bengkel besi sibuk dengan tempahan2 untuk pelanggan yang mahu siapkan sebelum Hari Raya Aidilfitri, hanya lepas raya baru dapat disiapkan.

Jadi dengan adanya signboard ini, ianya akan memudahkan untuk mencari lokasi projek cendawan kami. Betul-betul di jambatan kecil Sg Raja Hitam, Kg Banjar dari jalan Ipoh/Lumut ke Beruas melalui kilang APL, Kg Banjar, Kg Kedah, Kg Bakar Bata dan beberapa lagi sebelum ke pekan Beruas dan anda pasti akan terjumpa signboard tu sebagai 'landmark' nya.

Saturday, October 18, 2008

Bongkah terkena kulat oren boleh terus dibiarkan dan mengeluarkan hasil?

Tidak lama dulu rakan blogger cendawan Tunas Alam dalam blognya ada menyatakan lawatannya ke satu tempat di mana terdapat pengusaha cendawan tiram kelabu yang membiarkan bongkah-bongkah terkena kulat oren atau kulat jingga di dalam rumah cendawan dan pengusaha tersebut percaya ianya boleh menghasilkan cendawan tiram kelabu.


Ini memang satu maklumat baru yang menarik bagi saya, jadi kebetulan terdapat beberapa bongkah di rumah cendawan saya yang terkena serangan kulat ini untuk dicuba seperti pengusaha cendawan tersebut. Jadi saya bawa balik rumah saya di Ipoh.


No.1 Keadaan bongkah terkena kulat oren pada umur 3 minggu. 5 bongkah pada posisi baring tercemar teruk dengan kulat oren merebak di penutup bongkah. (gambar pada awal bulan Sept 08)


No. 2 Keadaan terkini selepas bongkah berusia lebih kurang hampir 2 bulan.


No. 3 Keadaan terkini 3 bongkah dari 5 bongkah yang mengalami kulat oren di penutup bongkah (bongkah2 pada posisi baring dalam gambar 1 & 2 di atas)


Kesimpulannya


Pemerhatian mendapati bahawa jika kulat oren telah merebak keluar di penutup bongkah maka ia gagal menghasilkan cendawan tiram kelabu. Ini boleh dilihat pada bongkah-bongkah pada posisi baring tersebut di dalam gambar no 2 di atas. Sungguhpun terdapat pertumbuhan misilium cendawan tiram kelabu tetapi ianya sedikit, perlahan dan ‘bergelut’ pula dengan species lain warna gelap yang tidak dikenal pasti tambahan pula kulat oren masih ada di penutup bongkah (lihat gambar no 3). Manakala yang lain-lain pula menjadi gelap dan tidak berhasil. Dalam keadaan sedemikian pada usia bongkah tersebut hampir dua bulan, adalah tidak berbaloi dari aspek komersil.


Tetapi pada bongkah yang mana kulat oren tidak merebak keluar..setakat warna oren di dalam bongkah cendawan (seperti di dalam gambar pada bongkah2 yang pada posisi tegak pada gambar no 1); masih ada harapan untuk misilium cendawan tiram kelabu ‘menakluki’ dan berkembang dengan baik dan berpotensi untuk menghasilkan cendawan tiram kelabu (lihat pada gambar no 2; bongkah2 tegak). Walaubagaimana pun ada juga bongkah didapati gelap tidak menjadi.


Ini apa yang saya alamilah, tapi tidak tahulah kalau pengusaha cendawan tiram kelabu itu ada teknik2 lain memulihkan kembali bongkah-bongkah yang tercemar dengan kulat oren itu.

Sunday, October 12, 2008

Dibuang tapi masih berhasil

Baru-baru ini saya telah membuang banyak bongkah samada akibat serangan penyakit atau sudah tidak produktif lagi. Tak lama setelah dibuang, saya terkejut begitu banyak cendawan tiram kelabu yang tumbuh dicelah-celah longgokan buangan. Ada lah dalam kira-kira sekilo lebih. Musim hujan nampaknya menyediakan suasana yang baik untuk cendawan tumbuh.


Bagai cendawan tumbuh selepas hujan..memang betul pun pepatah ini

Wednesday, October 8, 2008

Bongkah tercemar dengan kulat hijau dan oren/jingga?? Jangan terus buang!

Masih ada peluang untuk selamatkan bongkah yang diserang dengan kulat hijau dan oren/jingga. Pengalaman saya menunjukkan ianya boleh diselamatkan. Bongkah tercemar dgn kulat2 ini boleh diselamatkan jika dikesan pada peringkat awal dalam usia 2-3 minggu selepas disuntik. Hanya perlu buangkan bahagian atas yang tercemar, gantikan semula media yang dibuang itu dan seterusnya kukus semula. Berikut adalah 4 nos sampel bongkah tercemar yang dipulih kembali (H1, H2: bagi sample bongkah diserang kulat hijau dan J1,J2: bagi sample bongkah diserang kulat oren):

H1 dan H2 adalah bongkah yang telah diserang kulat hijau lebih kurang minggu ke dua selepas disuntik


JI pula adalah bongkah yang diserang penyakit kulat jingga dalam usia 2-3minggu selepas disuntik.


Buangkan bahagian atas yang tercemar dan isikan semula bahagian itu dengan media baru. Bongkah cendawan H2, H1, J1 & J2 (turutan dari kiri)


Kemudian gantikan penutup baru dan seterusnya kukus kembali


Keputusan terbaru: Bongkah cendawan H1, H2, J1 & J2 (turutan dari kiri) tersebut berjaya dipulihkan kembali dengan pertumbuhan misilium cendawan berjalan dengan baik kira-kira dua minggu selepas dikukus semula dan disuntik.


Alhamdulillah tiada satu pun antara 4 nos bongkah sampel terbabit rosak tidak boleh dipakai atau diserang kembali kulat oren dan hijau. Kecuali satu sample iaitu J2 yang perlahan sedikit pertumbuhan misilium, yang lain-lain mengalami pertumbuhan misilium dengan baik.


Kesimpulannya, bongkah cendawan yang diserang dengan kulat hijan dan oren masih boleh dipulihkan kembali jika dikesan awal.

Oleh itu minggu2 terawal lepas suntik, keraplah ke rak peraman memantau dengan kerap dan teliti bagi mengesan dan mengambil tindakan pemulihan terhadap bongkah-bongkah berkaitan. Secara tidak langsung, pemandangan menyakitkan melihat longgokan bongkah-bongkah yang dibuang begitu saja dapat dielakkan :-)

Tuesday, September 30, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Alhamdulilah. Syawal Dinanti Kembali Lagi. Semoga Kita Semua Dipermudahkan Urusan, Dimurahkan Rezeki, Diberikan Kesihatan & Sentiasa Dalam Rahmat dan Kasihnya-Nya. Salam Aidilfitri Maaf Zahir & Batin diucapkan kepada pengusaha-pengusaha cendawan dan pembaca blog ini yang beragama Islam.

Monday, September 29, 2008

Antara punca misilium hilang

Saya selalu perhati terdapat bongkah-bongkah yang pada mulanya misilium tumbuh dengan baik tetapi selang beberapa ketika kemudian hilang sedikit demi sedikit dan akhirnya hilang mcm tu saja. Ini menyebabkan bongkah tidak boleh digunakan lagi dan ini merupakan satu kerugian. Lama saya cari puncanya hinggalah barul-baru ini saya perasan rupa-rupanya terdapat spesies ulat dalam bongkah ini yang makan misilium.


Saya perhati ada ulat yang makan misilium nie..sambil dia makan misilium sambil tu terbentuk ‘lorong’ laluannya. Lagi banyak ulat yang ada dalam bongkah cendawan lagi cepat misilium hilang dimakannya. Kehadiran ulat ni saya percaya wujud kerana kukusan

yang tidak sempurna.


Anak panah hitam menunjukkan ulat yang makan misilium cendawan sambil membentuk ‘lorong-lorong laluannya’.


Walaubagaimana pun ini bukanlah punca utama menyebabkan bongkah cendawan menjadi hitam dan hilang mcm tu sahaja seperti pernah diposting terdahulu. Saya masih mencari puncanya supaya masalah berkenaan yang sentiasa melanda setiap kali membuat bongkah cendawan dapat di atasi.

Wednesday, September 17, 2008

Jualan cendawan kering-bila lagi cendawan tiram kelabu?

Hari ini, sempena cuti umum Nuzul Quran di Perak, saya dan isteri ke sebuah pasaraya besar di Ipoh. Hari ini plan nak masak nasi biriani waktu buka nie, jadi belilah sikit barang2 yang perlu.

Di pasaraya nie, saya ternampak satu rak yang jual cendawan kering seperti cendawan hitam, shiitake, telinga kera dan beberapa jenis lagi. Malangnya tak der pula cendawan tiram kelabu kering.


Alangkah bagusnya kalau cendawan tiram kelabu kering dijual besar-besaran dalam mempelbagaikan produk hiliran berasaskan cendawan jenis ini. Mungkin pengusaha-pengusaha cendawan tiram kelabu mengambil langkah mempelopori penjualan cendawan tiram kelabu kering ini dalam usaha mempopularkan lagi penggunaan cendawan tiram kelabu kepada masyarakat umum. Disamping tahan lama, masalah lambakan cendawan tiram kelabu juga dapat diatasi.



Antara cendawan kering yang dijual tapi cendawan tiram kelabu kering tiada.


Sedikit tazkirah mengenai Nuzul Quran, saya menemui satu rencana yang bagus mengenai Nuzul-Quran dalam blog Al-Futhuhat bertajuk Nuzul Quran Merubah Sikap Muslim. Semoga kita sama2 mendapat manfaat darinya.

Saturday, September 6, 2008

Penggunaan serai wangi sebagai penghalau semulajadi serangga

Seperti ramai ketahui, serai wangi digunakan bagi menangkis serangan serangga. Malah telah ada produk serai wangi anti serangga keluaran bumiputera yang dijual di pasaraya-pasaraya besar. Saya juga menggunakan produk tersebut dalam menjalankan kerja pembersihan rumah cendawan saya.

Jadi baru2 ini saya telah menanam serai wangi nie keliling rumah cendawan. Kalau lihat gambar di Profile & Perkhidmatan Mycendawan di column sebelah kanan ini boleh dilihat pasu2 bunga menghiasi rumah cendawan (emak saya punyer kerja tu), itu dahulu tetapi sekarang semuanya diganti dengan serai wangi.

Serai wangi nie cepat tumbuh dan tahan lasak, dalam sebulan selepas ditanam cincai ianya cepat naik dan daun-daun baru cepat tumbuh. Apabila daun serai nie sudah banyak nanti, ianya boleh digunakan bagi menghasilkan aroma anti serangga apabila daun2nya dipotong. Harap sedikit sebanyak ianya boleh membantu dalam mengatasi masalah serangan serangga nie.


Serai wangi di tanam keliling rumah cendawan

Sunday, August 31, 2008

Meletakkan kepercayaan kepada orang lain jalankan kerja suntikan

Kerja suntikan adalah kerja yang memerlukan ketelitian yang penuh. Kegagalan menjalankan kerja suntikan dengan betul boleh menyebabkan kerugian besar. Saya pernah alami ini pada peringkat permulaan projek cendawan ini. ‘Trauma’ ini memberi kesan yang mana sehingga kini hanya saya atau partner saya melakukan kerja ini. Alhamdulillah semenjak itu ianya berjalan lancar hasil pembelajaran dari kegagalan2 tersebut tapi dgn kos yang mahallah...

Walaubagaimana pun memandangkan kesibukan kerja masing2, adakalanya bongkah-bongkah yang dikukus terbiar hampir dua minggu tanpa suntikan. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Disamping itu terdapat pihak2 yang menghubungi kami untuk menempah bongkah dalam kuantiti yang banyak. Oleh yang demikian, nak tak nak kami tidak ada pilihan kecuali terpaksa meletak kepercayaan kepada pekerja membuat kerja suntikan ini.

Kebiasaannya kami mengupah budak2 kampung hanya bagi membuat bongkah cendawan sahaja. Antara mereka ni, saya perhatikan ada satu mamat yang boleh dipercayai dan diharapkan. Dia ni saya panggil Li jer..nama penuh tak tau..masih sekolah tingkatan empat, tapi rajin mencari duit tambahan bila kelapangan. Jadi petang semalam, saya turun sat dari Ipoh semata2 untuk ajar si Li buat kerja suntikan. Ini pertama kali kerja suntikan projek cendawan kami dilakukan orang lain. Oleh itu, beberapa jam dihabiskan untuk memastikan dia nie buat kerja dengan betul. Oklah cepat juga belajar dia nie..



Li sedang buat kerja suntikan. Hasil kerjanya boleh dilihat dalam dua minggu melihatkan kepada pertumbuhan misilium.

Oh yer, kepada pembaca semua diucapkan selamat menyambut kemerdekaan Malaysia yang ke 51. Diharapkan kegawatan politik yang sedang berlaku dan memeningkan ini cepat2 berakhir agar masing2 boleh fokus kepada kerja memajukan negara untuk kepentingan rakyat..tak kira pembangkang mahu pun pihak pemerintah.

Kepada muslimin dan muslimat sekalian selamat menyambut Ramadan. Semoga amal ibadat kita diterima Nya dan memberi impak perubahan positif pada diri kita.

Wednesday, August 27, 2008

Serangan kumbang hitam & penggunaan perekat lalat

Tidak lama dulu rumah cendawan saya pernah diserang kumbang hitam sehingga mengakibatkan sebahagian cendawan yang dipetik berulat. Untuk membasmi serangan kumbang hitam, tindakan drastik terpaksa diambil sepertimana yang dipostingkan sebelum ini.


Berdasarkan pengalaman saya dalam menangani permasalahan serangan kumbang hitam baru-baru ini, didapati penggunaan perekat lalat (nama komersil yang biasa disebut di kedai2) sebenarnya banyak juga memainkan peranan penting selepas post-treatment tersebut. Dalam tempoh seminggu pertama selepas ditempatkan di sekitar bongkah tuaian, banyak kumbang hitam terperangkap pada perekat ini. Alhamdulillah, sehingga hari ini saya dapati semua cendawan segar yang dipetik tidak lagi mengandungi ulat yang berbintik hitam di kepala tu. Ini adalah antara kaedah yang mudah, murah tapi berkesan dalam menangani kumbang hitam ini.


Banyak kumbang-kumbang hitam terperangkap pada perekat lalat.


Tapi yang penting sebenarnya adalah pastikan kebersihan rumah cendawan terjaga selalu. Dan juga menjalankan tindakan cuci dan tutup kembali bongkah cendawan dengan segera selepas tuaian.

Monday, August 25, 2008

Cendawan Sos Tiram

Sebenarnya macam-macam boleh dibuat dengan cendawan tiram kelabu nie, isteri saya suka mencuba masakan baru dengan cendawan tiram kelabu. Jadi hidangan makan malam hari ni adalah berikutnya. Memang sedap dimakan terutamanya ketika masih panas.. Pada berminat bolehlah mencuba masakan ini.



CENDAWAN SOS TIRAM

Bahan-bahan:
Cendawan tiram kelabu
Kentang di hiris kecil
2 ulas bawang kecil
1 ulas bawang putih
1 biji bawang besar dihiris
5 biji cili padi
Sos tiram
Kicap manis


Cara-cara memasak
1) Bawang kecil dan bawang putih serta 2 biji cili api di tumbuk dan di tumis
2) Masukkan kentang yang dihiris. Digoreng bersama dengan bahan yang ditumis.
3) Masukkan sos tiram, kicap manis dan sedikit air, biarkan sehingga kentang empok
4) Masukkan cendawan dan akhir sekali masukkan bawang besar dan cili api.
* Kalau nak masukkan ayam atau udang pun boleh….

Saturday, August 23, 2008

‘Cetak rompak’ dalam dunia blog

Ehmm..ini posting yang saya tak suka postkan..tapi terpaksa dipostkan juga memandangkan ianya beberapa kali berlaku..kebelakangan ini saya dapati kerja ‘cetak rompak’ atau kalau bahasa org belajar tinggi2 nie ‘plagiat’ menjadi-jadi dan saya juga turut terkena..beberapa artikel dan gambar2 dari blog MyCendawan ini telah diambil begitu sahaja tanpa makluman/izin tuannya. Saya tidak kisah asalkan paling kurang disebut sumbernya. Malangnya ini tidak berlaku, di ‘copy paste’ kan artikel/gambar kita dan dipostkan dalam blog-blog berkenaan seolah-olah macam cerita sendiri..

Yang peliknya yang mempunyai ijazah (seperti dinyatakan dalam blog) juga terlibat, sepatutnya bila dah ada degree nie dan pastinya pernah buat paper final year project atau bahasa mudahnya tesis, masalah ‘copy paste’ tidak berlaku. Ini memandangkan sudah tentu etika penulisan diajar dan ia harus diteruskan selepas tamat pengajian terutama apabila menulis bagi tatapan umum seperti blog.

Jadi pada sapa2 yang melakukan nie samada sengaja atau tidak, harap2 faham-faham lah dan tau apa nak dibuat.. ;-)

Ingatlah menulis ini lebih bermakna dan indah jika ditulis sendiri bukan mencetakrompak tulisan orang lain..tulisan & blog/web kita pun lebih kredibiliti dan dihormati.

Pembaca-pembaca blog pun bijak dan tau dari mana sumber2nya hatta sekeping gambar pun..terima kasih saya ucapkan pada pembaca2 yang memaklumkan pada saya.


Ok tamat cerita..semoga ianya tak berulang. Beralih ke cerita Perjumpaan Geng Cendawan Se_Malaysia anjuran rakan cendawan En Ramle Alwi pada Ahad ini 24 Ogos 2008, adalah diharapkan moga2 perjumpaan tersebut berhasil dan membawa manfaat pada pengusaha2 cendawan. Pada sesiapa yang berdekatan terutamanya atau yang ingin menghadiri, saya ingin mengambil kesempatan di sini, me war-warkan perjumpaan tersebut pada pengusaha2 cendawan yang ingin hadiri perjumpaan tersebut. sila layari blog Kulat Enterprise di http://kulatenterprise.blogspot.com/

Sunday, August 17, 2008

Berjalan-jalan di MAHA 2008

Memang memuaskan, berinformasi dan menyantaikan..itulah kesimpulan yang boleh dikatakan selepas melawat pameran pertanian, hortikultur dan agro perlancongan Malaysia (MAHA) 2008 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang semalam.


Berada di beberapa dewan pameran besar yang berdekatan satu sama lain..dengan suasana susunan menarik dan berhawa dingin membuatkan kami tak sedar beberapa jam sudah berlalu..


Berbagai2 tarikan di ekspo ini samada di dalam dewan atau pun di ruangan pamer luar di ladang-ladang. Di sini apa saja yang berkaitan cendawan menjadi tarikan pada saya. Syarikat C & C Mushroom memang boleh dikatakan 'giant' dalam industri cendawan tanahair. Mereka sudah jauh ke depan mengusahakan perlbagai produk hiliran berasaskan cendawan dan menanam cendawan-cendawan jenis lain seperti cendawan tiram putih, lingzhi, telinga kera dan abalon.


Booth C & C Mushroom


Disamping cendawan segar. Produk2 hiliran lain turut dihasilkan C&C Mushroom. Mereka mempelopori penjualan keropok berasaskan cendawan tiram (oyster mushroom crisps) yang rangup dan enak.


Namun penyertaan lain-lain pengusaha bumiputera cendawan tiram kelabu lain juga turut menarik perhatian. Mereka juga tidak asing dalam dunia internet dan turut mempunyai laman blog.


Genting Permai Resources yang mempunyai blog gentingpermairesources.blogspot.com turut menyertai ekspo MAHA 2008


produk hiliran yang dijual Genting Permai Resources; tempura cendawan, serunding cendawan dan tepung tempura cendawan


Booth Cendawan Blues Enterprise cendawanblues.blogspot.com juga menawarkan contract farming


Beberapa agensi kerajaan lain juga memaparkan cendawan dalam ruangan pameran mereka.

Saya tertarik dengan pameran dari Lembaga Pertubuhan Peladang mempamerkan model mini rumah cendawan..pada sesiapa yang berminat saya rasa boleh mengikuti model seperti di gambar bawah..sesuai untuk perniagaan kecil2an seperti di taman perumahan yang memerlukan sedikit ruang laman atau pun sebagai eksperimen dahulu sebelum membuat besar2an.


Mini rumah cendawan yang boleh memuatkan paling kurang 1000 bongkah cendawan. sangat ekonomik dan mudah dibina sendiri. Dengan dinding netting beratapkan nipah.


Booth Jabatan Pertanian juga mempamerkan cendawan di ruangan pameran mereka. Di samping cendawan tiram kelabu, bongkah cendawan lingzhi dan cendawan kobis bunga juga dipamerkan.


Kebelakangan ini penanaman cendawan lingzhi atau dalam bahasa melayu dipanggil cendawan merah mula mendapat perhatian. Selain dari agensi-agensi pertanian kerajaan dan syarikat C&C Mushroom yang mempamerkan cendawan lingzhi di ruangan pameran masing2, syarikat Sureco turut mempamerkan cendawan linghzi di booth mereka. Mungkinkah selepas ini penanaman cendawan lingzhi akan mendapat tempat di hati pengusaha cendawan tempatan..


Ekspo MAHA 2008 ini memang sesuai untuk dilawati sekeluarga apatah lagi sempena musim cuti sekolah. Banyak potensi peluang-peluang perniagaan berbagai jenis bidang bidang pertanian yang boleh ditinjau. Pada sesiapa yang berminat dalam perniagaan berasaskan pertanian, samada dalam perikanan, pertanian mahupun penternakan memang inilah tempatnya yang sesuai. Ekspo ini akan berakhir pada Sabtu depan 23 Ogos 2008.