Saturday, April 5, 2008

Kembali Membuat Beg Cendawan

Hasil tuaian cendawan tiram kelabu kami nampaknya dah mula berkurangan dan bekalan baru cendawan harus dipastikan ada agar bekalan cendawan tidak terputus. Oleh itu, pada hari ini kami telah memulakan membuat beg cendawan disamping memenuhi permintaan pihak luar untuk membeli beg cendawan.


Telah lama kami tidak melakukan kerja membuat beg cendawan sehinggakan hampir lupa sukatan bahan-bahan yang terlibat. Habuk kayu getah pula telah dihantar beberapa minggu lepas tapi hanya baru ini sahaja boleh digunakan. Ini kerana didapati habuk kayu yang dihantar ketika itu berwarna kuning dikira masih 'muda'. Keadaan begini amat tidak sesuai dibuat bancuhan media cendawan.

Hanya bila habuk kayu tersebut berwarna sedikit kuning kegelapan/coklat baru sesuai untuk kerja membuat bancuhan media cendawan dimulakan.


Habuk kayu getah berwarna kuning gelap/coklat, sesuai untuk dibuat bancuhan media cendawan

Nampaknya selepas ini sibuklah sedikit dengan kerja cendawan; mengukus, menghantar ke tempat rumah cendawan, kerja suntikan, susun beg di rak dan sebagainya.