Saturday, May 3, 2008

Satu revolusi dalam teknik penghasilan cendawan tiram kelabu akan tercipta?

Sempena cuti pekerja 1 Mei, saya dan isteri balik bercuti di kampung di Melaka. Pagi Jumaat semalam saya tak tahu apa nak buat, jadi saya ‘google’ dalam internet untuk mengetahui jika ada sesiapa yang usahakan cendawan tiram kelabu di Melaka..tup tup keluar blog cendawanmelaka.blogspot.com. Di dalam blog tersebut saya terbaca mengenai teknik penghasilan cendawan tiram kelabu tanpa melalui proses kukusan dengan menggunakan kaedah tertentu.

Ini membuatkan saya ingin mengetahui lebih lanjut, petang semalam saya dan isteri berkesempatan pergi ke Melaka Baru berjumpa dengan kenalan baru saudara Abu Bakar tuanpunya blog cendawanmelaka.blogspot.com dan Dato’ Zaini turut ada-pencipta baja bio-plant dan baja pasir yang sangat kreatif disamping beberapa lagi eksperimen yang sedang dilakukannya. Di situ kami diberi penerangan mengenai kajian yang sedang mereka lakukan. Memang mengkagumkan kerana kajian mereka sangat berpotensi untuk dikomersilkan. Penggunaan baja bio-plant, baja pasir sedikit arang dengan nisbah tertentu dapat menggelakkan dari melalui proses pengukusan yang mengambil masa yang lama dan menjerihkan serta dapat menjimatkan kos. Memang nampak meyakinkan kajian mereka. Disamping itu beberapa elemen konvensional dapat dijimatkan dimana dedak dan kapur tidak digunakan dalam kaedah baru ini. Menurut saudara Abu Bakar penggunaan kaedah ini membolehkan cendawan yang dalam proses peraman tahan daripada serangan penyakit yang biasa menyerang seperti kulat oren, hijau dan sebagainya. Di samping itu, suntikan benih cendawan juga boleh dilakukan di tempat terbuka. Berikut adalah gambar-gambar eksperimen berkenaan:



Pertumbuhan misilium yang disuntik pada 12 April 08. Dijangkakan pertengahan Mei ini akan mula mengeluarkan hasilnya.



Pertumbuhan misilium yang disuntik pada 22 April 08.

Saya tak sabar menunggu keputusan hasil kajian mereka. Diharapkan hasilnya nanti berkualiti dan kuantiti cendawan melalui kaedah baru ini setanding atau lebih baik dari kaedah yang dikeluarkan secara konvensional. Jika ini kaedah baru ini berjaya (tanpa kukus), pastinya secara tidak langsung merupakan satu ‘breakthrough’ dalam sektor perusahaan cendawan di negara ini.

Saya juga membeli satu botol bio-plant 1L untuk melihat keberkesanannya di ladang cendawan saya untuk mengawal risiko penyakit yang menyerang cendawan dan mengoptimumkan hasil cendawan.

Akhir sekali terima kasih kepada saudara Abu Bakar dan Dato’ Zaini kerana memberi penerangan yang panjang lebar tentang kajian mereka di samping bertukar pandangan dan idea mereka yang kreatif. Semoga kajian mereka sukses.

Oh yer percutian di Melaka kali ini amat istimewa sikit..ketika berjalan di Bandar Melaka kami tak sedar pun wujudnya satu menara tinggi di Melaka. Menara ini dipanggil Menara Taming Sari. Ketika kami menaikinya tiketnya berharga RM10 seorang bagi dewasa, RM8 seorang bagi warga tua dan RM5 bagi kanak-kanak. Pengalaman yang mengujakan dan terasa kepuasan menikmati panorama menarik dari menara setinggi 110meter ini.


Menara Taming Sari..dengan kabin berputar.



Panorama bandaraya Melaka dan kawasan sekeliling termasuk kapal-kapal di Selat Melaka seluas mata memandang yang sempat dirakam dari Menara Taming Sari