Wednesday, October 29, 2008

Jualan Bongkah Matang

Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada En Abdullah dari Ipoh dan En Nasir (maaf lupa tanya nama penuh) dari Lekir, Perak yang datang pada hari ini membeli 1000 bongkah cendawan tiram kelabu matang sedia dituai. Projek cendawan tiram kelabu mereka bertempat di Lekir. En Nasir telah datang beberapa hari awal sebelum itu bagi melihat sendiri sebelum membuat keputusan untuk membeli 1000bongkah tersebut.


sebahagian dari 1000bongkah cendawan matang yang disediakan pagi tadi


Kami berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan ini. Harapan kami dari MyCendawan, semoga projek cendawan mereka sukses dan berkembang maju.

Wednesday, October 22, 2008

Bagaimana hendak ke projek MyCendawan



Alhamdulillah, akhirnya papantanda (signboard) untuk projek MyCendawan telah berjaya disiapkan. Signboard ini telah ditempah sejak bulan puasa tapi memandangkan bengkel besi sibuk dengan tempahan2 untuk pelanggan yang mahu siapkan sebelum Hari Raya Aidilfitri, hanya lepas raya baru dapat disiapkan.

Jadi dengan adanya signboard ini, ianya akan memudahkan untuk mencari lokasi projek cendawan kami. Betul-betul di jambatan kecil Sg Raja Hitam, Kg Banjar dari jalan Ipoh/Lumut ke Beruas melalui kilang APL, Kg Banjar, Kg Kedah, Kg Bakar Bata dan beberapa lagi sebelum ke pekan Beruas dan anda pasti akan terjumpa signboard tu sebagai 'landmark' nya.

Saturday, October 18, 2008

Bongkah terkena kulat oren boleh terus dibiarkan dan mengeluarkan hasil?

Tidak lama dulu rakan blogger cendawan Tunas Alam dalam blognya ada menyatakan lawatannya ke satu tempat di mana terdapat pengusaha cendawan tiram kelabu yang membiarkan bongkah-bongkah terkena kulat oren atau kulat jingga di dalam rumah cendawan dan pengusaha tersebut percaya ianya boleh menghasilkan cendawan tiram kelabu.


Ini memang satu maklumat baru yang menarik bagi saya, jadi kebetulan terdapat beberapa bongkah di rumah cendawan saya yang terkena serangan kulat ini untuk dicuba seperti pengusaha cendawan tersebut. Jadi saya bawa balik rumah saya di Ipoh.


No.1 Keadaan bongkah terkena kulat oren pada umur 3 minggu. 5 bongkah pada posisi baring tercemar teruk dengan kulat oren merebak di penutup bongkah. (gambar pada awal bulan Sept 08)


No. 2 Keadaan terkini selepas bongkah berusia lebih kurang hampir 2 bulan.


No. 3 Keadaan terkini 3 bongkah dari 5 bongkah yang mengalami kulat oren di penutup bongkah (bongkah2 pada posisi baring dalam gambar 1 & 2 di atas)


Kesimpulannya


Pemerhatian mendapati bahawa jika kulat oren telah merebak keluar di penutup bongkah maka ia gagal menghasilkan cendawan tiram kelabu. Ini boleh dilihat pada bongkah-bongkah pada posisi baring tersebut di dalam gambar no 2 di atas. Sungguhpun terdapat pertumbuhan misilium cendawan tiram kelabu tetapi ianya sedikit, perlahan dan ‘bergelut’ pula dengan species lain warna gelap yang tidak dikenal pasti tambahan pula kulat oren masih ada di penutup bongkah (lihat gambar no 3). Manakala yang lain-lain pula menjadi gelap dan tidak berhasil. Dalam keadaan sedemikian pada usia bongkah tersebut hampir dua bulan, adalah tidak berbaloi dari aspek komersil.


Tetapi pada bongkah yang mana kulat oren tidak merebak keluar..setakat warna oren di dalam bongkah cendawan (seperti di dalam gambar pada bongkah2 yang pada posisi tegak pada gambar no 1); masih ada harapan untuk misilium cendawan tiram kelabu ‘menakluki’ dan berkembang dengan baik dan berpotensi untuk menghasilkan cendawan tiram kelabu (lihat pada gambar no 2; bongkah2 tegak). Walaubagaimana pun ada juga bongkah didapati gelap tidak menjadi.


Ini apa yang saya alamilah, tapi tidak tahulah kalau pengusaha cendawan tiram kelabu itu ada teknik2 lain memulihkan kembali bongkah-bongkah yang tercemar dengan kulat oren itu.

Sunday, October 12, 2008

Dibuang tapi masih berhasil

Baru-baru ini saya telah membuang banyak bongkah samada akibat serangan penyakit atau sudah tidak produktif lagi. Tak lama setelah dibuang, saya terkejut begitu banyak cendawan tiram kelabu yang tumbuh dicelah-celah longgokan buangan. Ada lah dalam kira-kira sekilo lebih. Musim hujan nampaknya menyediakan suasana yang baik untuk cendawan tumbuh.


Bagai cendawan tumbuh selepas hujan..memang betul pun pepatah ini

Wednesday, October 8, 2008

Bongkah tercemar dengan kulat hijau dan oren/jingga?? Jangan terus buang!

Masih ada peluang untuk selamatkan bongkah yang diserang dengan kulat hijau dan oren/jingga. Pengalaman saya menunjukkan ianya boleh diselamatkan. Bongkah tercemar dgn kulat2 ini boleh diselamatkan jika dikesan pada peringkat awal dalam usia 2-3 minggu selepas disuntik. Hanya perlu buangkan bahagian atas yang tercemar, gantikan semula media yang dibuang itu dan seterusnya kukus semula. Berikut adalah 4 nos sampel bongkah tercemar yang dipulih kembali (H1, H2: bagi sample bongkah diserang kulat hijau dan J1,J2: bagi sample bongkah diserang kulat oren):

H1 dan H2 adalah bongkah yang telah diserang kulat hijau lebih kurang minggu ke dua selepas disuntik


JI pula adalah bongkah yang diserang penyakit kulat jingga dalam usia 2-3minggu selepas disuntik.


Buangkan bahagian atas yang tercemar dan isikan semula bahagian itu dengan media baru. Bongkah cendawan H2, H1, J1 & J2 (turutan dari kiri)


Kemudian gantikan penutup baru dan seterusnya kukus kembali


Keputusan terbaru: Bongkah cendawan H1, H2, J1 & J2 (turutan dari kiri) tersebut berjaya dipulihkan kembali dengan pertumbuhan misilium cendawan berjalan dengan baik kira-kira dua minggu selepas dikukus semula dan disuntik.


Alhamdulillah tiada satu pun antara 4 nos bongkah sampel terbabit rosak tidak boleh dipakai atau diserang kembali kulat oren dan hijau. Kecuali satu sample iaitu J2 yang perlahan sedikit pertumbuhan misilium, yang lain-lain mengalami pertumbuhan misilium dengan baik.


Kesimpulannya, bongkah cendawan yang diserang dengan kulat hijan dan oren masih boleh dipulihkan kembali jika dikesan awal.

Oleh itu minggu2 terawal lepas suntik, keraplah ke rak peraman memantau dengan kerap dan teliti bagi mengesan dan mengambil tindakan pemulihan terhadap bongkah-bongkah berkaitan. Secara tidak langsung, pemandangan menyakitkan melihat longgokan bongkah-bongkah yang dibuang begitu saja dapat dielakkan :-)