Saturday, October 18, 2008

Bongkah terkena kulat oren boleh terus dibiarkan dan mengeluarkan hasil?

Tidak lama dulu rakan blogger cendawan Tunas Alam dalam blognya ada menyatakan lawatannya ke satu tempat di mana terdapat pengusaha cendawan tiram kelabu yang membiarkan bongkah-bongkah terkena kulat oren atau kulat jingga di dalam rumah cendawan dan pengusaha tersebut percaya ianya boleh menghasilkan cendawan tiram kelabu.


Ini memang satu maklumat baru yang menarik bagi saya, jadi kebetulan terdapat beberapa bongkah di rumah cendawan saya yang terkena serangan kulat ini untuk dicuba seperti pengusaha cendawan tersebut. Jadi saya bawa balik rumah saya di Ipoh.


No.1 Keadaan bongkah terkena kulat oren pada umur 3 minggu. 5 bongkah pada posisi baring tercemar teruk dengan kulat oren merebak di penutup bongkah. (gambar pada awal bulan Sept 08)


No. 2 Keadaan terkini selepas bongkah berusia lebih kurang hampir 2 bulan.


No. 3 Keadaan terkini 3 bongkah dari 5 bongkah yang mengalami kulat oren di penutup bongkah (bongkah2 pada posisi baring dalam gambar 1 & 2 di atas)


Kesimpulannya


Pemerhatian mendapati bahawa jika kulat oren telah merebak keluar di penutup bongkah maka ia gagal menghasilkan cendawan tiram kelabu. Ini boleh dilihat pada bongkah-bongkah pada posisi baring tersebut di dalam gambar no 2 di atas. Sungguhpun terdapat pertumbuhan misilium cendawan tiram kelabu tetapi ianya sedikit, perlahan dan ‘bergelut’ pula dengan species lain warna gelap yang tidak dikenal pasti tambahan pula kulat oren masih ada di penutup bongkah (lihat gambar no 3). Manakala yang lain-lain pula menjadi gelap dan tidak berhasil. Dalam keadaan sedemikian pada usia bongkah tersebut hampir dua bulan, adalah tidak berbaloi dari aspek komersil.


Tetapi pada bongkah yang mana kulat oren tidak merebak keluar..setakat warna oren di dalam bongkah cendawan (seperti di dalam gambar pada bongkah2 yang pada posisi tegak pada gambar no 1); masih ada harapan untuk misilium cendawan tiram kelabu ‘menakluki’ dan berkembang dengan baik dan berpotensi untuk menghasilkan cendawan tiram kelabu (lihat pada gambar no 2; bongkah2 tegak). Walaubagaimana pun ada juga bongkah didapati gelap tidak menjadi.


Ini apa yang saya alamilah, tapi tidak tahulah kalau pengusaha cendawan tiram kelabu itu ada teknik2 lain memulihkan kembali bongkah-bongkah yang tercemar dengan kulat oren itu.